22 Jun - Golongan guru, murid dan ibu bapa kini berhadapan dengan situasi PdPR yang agak mencabar apabila peralatan alat tulis, perkhidmatan fotostat, peralatan elektronik dan komputer tidak dikategorikan sebagai barang dan perkhidmatan perlu (essential services) oleh kerajaan ketika PKP.
Apabila tidak dikategorikan sebagai essential services, kedai-kedai berkenaan tidak dibenarkan beroperasi malah bahagian-bahagian alat tulis di dalam pasaraya besar juga ditutup.
Hal ini disuarakan warga netizen terutama daripada golongan pendidik apabila mereka berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan perkhidmatan fotostat dan bekalan alat tulis yang semakin susut dalam melaksanakan PdPR.
“Sukar untuk laksanakan PdPR bagi kami yang menggunakan pendekatan luar talian dan secara modul.
“Nak cetak modul lagi untuk serahkan kepada murid, bukan tak boleh nak beli secara dalam talian, tetapi ianya kadang-kadang mengambil masa yang lama sedangkan kita perlukannya segera,” kata seorang guru di laman sosialnya.
Situasi ini juga memberi kesan kepada ibu bapa yang mahu membeli keperluan alat tulis kepada anak-anak mereka untuk tugasan PdPR yang diberika oleh guru.
“Saya cuma nak beli gam dan dan sedikit kertas warna untuk tugasan anak saya yang diberikan oleh guru, tetapi kedai-kedai ini ditutup, malah bahagian alat tulis di pasaraya juga ditutup,” kata salah seorang ibu bapa di laman sosial beliau.
Bagi guru-guru yang melaksanakan sepenuhnya PdPR secara dalam talian pula, kesukaran timbul apabila peralatan komputer seperti komputer riba, pencetak tidak berfungai denga baik.
“Komputer riba rosak, tetapi nak hantar ke mana? Kedai tomyam sahaja yang buka, ada juruteknik komputer di situ untuk baiki komputer?” seloroh salah seorang guru.
Justeru itu, golongan yang terkesan dengan situasi ini memohon agar sekurang-sekurangnya, bahagian alat tulis di pasaraya-pasaraya besar dibuka bagi tujuan tersebut.