PUTRAJAYA - Radzi berkata, pihaknya menyedari, isu kekurangan guru itu tidak akan dapat diselesaikan jika kementerian masih melihat dan menggunakan pendekatan lama.
"Melalui pendekatan baharu ini kita dapati antara punca bekalan itu terhad apabila guru dengan opsyen tertentu hanya boleh mengajar mata pelajaran tertentu saja.
"Dalam konteks lain, guru ini juga boleh mengajar mata pelajaran berbeza atau hampir dengan ruang lingkup sama. Justeru apabila kita membuat kajian mendalam kita dapati, terdapat keperluan untuk mewujudkan kluster opsyen mata pelajaran," katanya.
Beliau berkata, melalui kluster opsyen mata pelajaran, bakal guru yang akan diambil dalam pengambilan khas itu akan disusun mengikut kelayakan dan kelulusan mereka mengikut kluster tertentu bagi membolehkan ruang atau kelompok tertentu sumber bekalan itu lebih luas.
Katanya, ia bagi membolehkan pemilihan calon berkelayakan bagi opsyen mata pelajaran yang memerlukan pengisian.
Selain itu, beliau berkata, KPM akan mengadakan kepelbagaian kaedah pelantikan berbanding sebelum ini yang hanya memberikan tumpuan kepada kaedah tertentu saja.
Biarpun, pengambilan khas itu akan memberi tumpuan kepada calon yang mempunyai iktisas pendidikan, Radzi berkata ia tidak akan terhenti di situ saja, sebaliknya KPM akan melihat pengambilan secara menyeluruh dengan mengambil kira latar belakang pendidikan calon yang bersesuaian dengan kekosongan guru mengikut mata pelajaran.
"Ia adalah 'one off' dan mengambil kira kekurangan yang kritikal. Jika tiada graduan pendidikan yang boleh memenuhinya maka kaedah bersesuaian akan diambil dan diteliti oleh SPP," katanya.