![]() |
Imej hiasan |
KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 ialah pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun. Seramai 9,411 calon mendapat A untuk semua subjek. Pencapaian ini amat membanggakan ketika kita sibuk melawan COVID-19.
Kejayaan terbaik ini, menurut tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, didorong tiga faktor utama iaitu bantuan alat Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), motivasi kendiri pelajar dan sokongan kental ibu bapa.
Tidak dinafikan ketiga-tiga elemen ini memainkan peranan tidak ternilai ketika calon mengharungi tempoh pembelajaran mencabar sejak Mac tahun lalu.
Namun, jangan kita memandang sepi peranan tenaga pengajar yang terbabit secara langsung. Guru harus diberi perhatian sewajarnya ketika meraikan detik gembira ini. Mereka ejen pemangkin bertindak mengadunkan ketiga-tiga faktor kejayaan terbabit.
Guru seperti juga pelajar dan ibu bapa, tidak dapat menjangka COVID-19 mengubah landskap pendidikan di negara ini. Seluruh ekosistem pendidikan negara tidak bersedia ketika itu.
Masing-masing tidak dapat membayangkan apa akan terjadi khususnya kepada calon peperiksaan awam besar, termasuk SPM.
Ketika pelajar buntu nasib mereka dan bilakah sesi persekolahan akan bersambung, guru sudah mengorak langkah awal.
Guru pelbagai lapisan usia; muda dan veteran menghadapi cabaran serta tekanan hebat. Bahan PdP selama ini hampir sepenuhnya dalam bentuk konvensional perlu diubah kepada kandungan digital pada masa singkat.
Selepas itu, mereka memikirkan bagaimana kandungan digital ini disampaikan dengan efektif kepada pelajar, khususnya yang bakal menduduki peperiksaan.
Ketika PdPR mula dilaksana, pelbagai reaksi diberikan. Tohmahan bertali arus menghentam guru. Ibu bapa menyuarakan kegusaran keberkesanan norma baharu PdPR mempersiapkan anak mereka menghadapi peperiksaan besar. Bahkan ada bersuara agar peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dibatalkan.
Namun, semangat golongan pendidik sedikit pun tidak luntur. Amanah dipegang untuk memastikan anak didik berjaya sentiasa tersemat tinggi. Mereka gigih memberikan yang terbaik walaupun suasana mencabar.
Komitmen guru juga terserlah ketika pelajar Tingkatan Lima dan Enam diarah menyambung sesi persekolahan secara bersemuka pada Jun tahun lalu dan Januari lalu.
Walaupun terdedah risiko jangkitan dengan kehadiran di sekolah, guru sanggup berkorban demi memberikan tumpuan sebaiknya agar semua sukatan pelajaran dapat dihabiskan.
Keputusan peperiksaan SPM 2020 memang di luar jangkaan. Bukan sahaja Gred Purata Nasional (GPN) meningkat 0.6 mata berbanding 2019, bahkan jurang pencapaian calon antara bandar dengan luar bandar turut mengecil.
Justeru, jangan kita menenggelamkan sumbangan guru di sebalik kejayaan manis SPM 2020. Mereka wajar dinobat sebagai wira walaupun tidak didendang. Jasa dan pengorbanan mereka sepanjang tempoh sukar ini perlu diberi perhatian.
Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi dan
Pengajian Rantaian Bekalan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan,
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam