12 Jun - Mantan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr. Amin Senin telah melontarkan pendapatnya mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) yang sedang dilaksanakan seluruh negara hari ini.
Melalui satu hantaran Facebook yang diberi tajuk Memperkasa Pengajaran & Pembelajaran Di Rumah (PdPR), beliau mengajak pembaca untuk melihat dari sudut pandang yang kurang diberi perhatian dan mungkin terlepas pandang.
"Persepektif jangka panjang yang memberi kesan mendasar dan menyeluruh," katanya.
Menurut beliau, pada awal pelaksanaan PdPR, ianya dilihat sebagai satu pendekatan yang berada dilandasan yang betul dalam membentuk normal baharu pembelajaran yang bakal mencorak pengalaman pembelajaran murid pasca pandemik COVID-19.
"Walau bagaimanapun dari segi pelaksanaannya, saya mula berasa PdPR cenderung difahami dan diterjemahkan sebagai pelan kontingensi untuk mengisi PdP apabila sekolah ditutup (menggantikan PdP bersemuka secara fizikal).
"Tanggapan ini semakin kuat apabila melihat salah satu slaid yang digunakan oleh YB Menteri dalam pengumumnya baru-baru ini. Ada simbol tanda tanya (?) yang diikuti dengan ayat “Akan diumumkan sekurang-kurangnya seminggu sebelum cuti penggal persekolahan”." katanya lagi.
Pada pendapat beliau, ini seoalah-olah memberi isyarat PdPR bukan salah satu komponen utama dalam Normal Baharu Pembelajaran pasca pandemik. Pelaksanaan PdPR terikat dengan status sama ada sekolah ditutup (ada PdPR) atau sekolah dibuka (tiada PdPR). Ini menunjukkan PdPR tidak diperlukan lagi apabila pandemik sudah berlalu.
"Jika telahan saya itu betul, kemungkinan kita kehilangan peluang terbaik untuk mengubah landskap pengalaman pembelajaran persekolahan anak murid di Malaysia.
"Kenapa saya berpendapat sedemikian? Kerana salah satu pra syarat penting dalam mengurus perubahan dalam pendidikan ialah KESEDIAAN (readiness) semua pemegang taruh untuk berubah.
"Cabaran pandemik ini menyebabkan semua pihak bersedia dan bersetuju perubahan perlu dilakukan supaya PEMBELAJARAN murid berlaku. Walau bagaimanapun apakah naratif baharu persekolahan yang hendak kita bina dengan berbekalkan “kesediaan’ semua pemegang taruh tadi?" jelasnya lagi.
Justeru itu, beliau mempersoalkan setelah lebih setahun bergelut dengan pandemik COVID-19, apakah iktibar atau pengajaran yang diperolehi dalam mengurus pengalaman persekolahan anak-anak murid dan berdasarkan iktibar tersebut, apakah wajah baharu pengalaman pembelajaran yang hendak dibangunkan.
Beliau turut mempersoalkan ke manakah pengalaman pembelajaran baharu tersebut dihalakan atau dalam frasa yang lebih popular lagi ialah apakah NORMAL BAHARU [PEMBELAJARAN] pasca pandemik yang perlu diamalkan dan dibudayakan.