![]() |
Imej hiasan |
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memohon kerajaan menyediakan inisiatif berbentuk rebat RM1,000 kepada guru bagi pembelian komputer riba untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata komputer riba dan data internet adalah asas penting menjayakan PdPR ketika ini.
Dalam isu PdPR, katanya, guru tidak dibekalkan dengan peruntukan dan kemudahan, namun arahan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tetap perlu dilaksanakan.
"Arahan yang diberi seolah-olah semua guru dibekalkan dengan komputer riba dan data internet percuma.
"Secara analoginya, ibarat guru diarahkan ke medan perang tanpa bekalan senjata tetapi syaratnya wajib menang cemerlang.
"Ini tidak adil kepada guru, malah isu guru mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk PdPR bukan perkara baharu.
"Sebelum kita berdepan COVID-19 pun, guru kerap berdepan isu guna menggunakan peruntukan sendiri dalam melaksanakan tanggungjawab," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Justeru, Aminuddin berharap kerajaan menyediakan inisiatif berbentuk rebat RM1,000 kepada guru, sekurang-kurangnya menerusi pembentangan bajet akan datang.
Menyentuh aspek capaian internet di luar bandar, beliau berkata, ada dua isu perlu diberi perhatian iaitu ketiadaan liputan internet dan kemampuan kewangan ibu bapa murid.
Katanya, dua perkara itu perlu diberikan perhatian serius dan memerlukan tindakan tuntas memandangkan liputan internet baik tidak memadai jika murid tidak mampu memiliki peranti atau data internet untuk belajar.
"Justeru, bantuan peranti kepada mereka perlu diperluaskan manakala sumbangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak korporat perlu dipertingkatkan.
"Bukan setakat beri 150,000 peranti dalam inisiatif CERDIK, tetapi beri juga insentif kepada syarikat yang menyumbang peranti untuk PdPR kepada murid," katanya.
Aminuddin berkata, usaha membangunkan infrastruktur telekomunikasi berkait dengan internet di kawasan luar bandar memerlukan peruntukan besar dan tempoh agak lama.
Justeru, katanya, langkah jangka panjang perlu diambil dari sekarang ke arah mengurangkan jurang digital sektor pendidikan yang akhirnya mampu memperkasakan PdPR secara dalam talian.
"NUTP ingin mengetahui perancangan jangka panjang Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung usaha memperkasa PdPR secara dalam talian di luar bandar.
"Justeru, dalam bajet akan datang, NUTP mengharapkan selain untuk urusan COVID-19, akan ada peruntukan besar terhadap langkah memperkasakan pendidikan digital khususnya ke arah meningkatkan penyertaan berimpak tinggi murid luar bandar dalam PdPR," katanya.