PETALING JAYA: Tahap keyakinan guru dan pelajar untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di sekolah akan lebih meningkat selepas kerajaan memutuskan untuk memberi vaksin kepada pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 mulai bulan depan.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang berkata, berita tersebut sememangnya dinantikan pelajar dan warga pendidik kerana ia dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 apabila adanya imuniti kelompok di sekolah.
“Kita mengalu-alukan dan menyokong pengumuman kerajaan (vaksin kepada pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6) kerana itulah yang kita harapkan bagi memberi keyakinan, selain guru, pelajar juga diberi vaksin untuk mencapai imuniti kelompok di sekolah,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, apabila sekolah dibuka nanti pelajar Tingkatan 5 dan 6 juga mungkin akan menjadi kumpulan pertama hadir kerana mereka perlu menduduki peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Walaupun untuk belajar secara bersemuka, ia tidak boleh lihat kepada pemberian vaksin sahaja, kena lihat risiko persekitaran, kalau kes masih tinggi, sekolah masih tidak boleh dibuka,” katanya.
Terdahulu Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 akan mula menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer bermula bulan depan.
“Kita kena beri vaksin kepada mereka pada awal (sesi) persekolahan. Bila menteri pendidikan buat keputusan untuk benarkan pelajar ini ke sekolah, kita akan beri suntikan kepada mereka bermula pertengahan Julai atau awal Ogos bergantung kepada kes harian,” katanya pada sidang media.