KUANTAN – Tiada istilah pilih bulu bagi memastikan perlaksanaan prosedur operasi standard (SOP) membendung penularan Covid-19 dipatuhi termasuk kepada penjawat awam sendiri.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya sentiasa menunaikan amanah yang digalas dalam memastikan keselamatan orang awam.
Ia dibuktikan dalam satu operasi pemantauan mengejut yang dilakukan oleh kumpulan pemantau daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di premis pejabat di Kompleks Tun Abdul Razak hari ini di mana seorang penjawat awam telah dikenakan tindakan.
Penjawat awam berkenaan dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 kerana didapati tidak mendaftar aplikasi MySejahtera dengan memberikan alasan bercuti tetapi hadir ke pejabat.
“Kalau bercuti duduk rumah, alasan hadir ke pejabat tidak mendaftar MySejahtera kerana bercuti dan cuma hadir ke pejabat dan buat kerja, itu bukan alasan,” ulas Mohamad Noor ketika ditemui hari ini.
Menurut beliau, tindakan segelintir pihak yang tidak mematuhi SOP akan memudaratkan masyarakat akibat sikap kecuaian dan sikap tidak peduli.
“Kita buat buat pemantauan bukan nak tunjuk kuasa tapi SOP yang dibuat kepada semua termasuk polis pun tidak terkecuali,” katanya lagi.