MELAKA: Dakwaan seorang guru wanita meninggal dunia pada Rabu lalu akibat varian baharu Covid-19 yang tidak menunjukkan sebarang gejala dan lebih berbahaya sehingga tular di media sosial adalah tidak tepat.
Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Datuk Dr. Ismail Ali berkata, guru tersebut bagaimanapun didapati merupakan individu positif Covid-19.
“Hasil siasatan pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mendapati pada 19 Mei mangsa telah tidak sedarkan diri dan mengalami kekejangan sebelum dihantar ke Hospital Melaka.
“Guru terbabit telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ujian pengesanan teknik Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) telah dijalankan, keputusan adalah positif Covid-19.
“Walau bagaimanapun, dakwaan mangsa dijangkiti varian baharu Covid-19 adalah tidak tepat kerana survelan genomik masih dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan keputusan hanya akan diperoleh dalam masa dua minggu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sejak semalam, tular di media sosial berkenaan satu tangkap layar perbualan WhatsApp yang menyatakan guru tersebut, Nurul Naim Omar meninggal dunia disebabkan serangan Covid-19 varian baharu yang lebih berbahaya.
Allahyarhamah yang juga guru matematik di Sekolah Kebangsaan (SK) (P) Methodist 2 di sini, dikatakan telah pergi mendapatkan rawatan di hospital kerana demam pada pukul 9 pagi, namun menghembuskan nafas terakhir dua jam kemudian.
Tambah Ismail, ujian tersebut merupakan proses yang kompleks dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan perkara tidak sahih.
Mengulas lanjut mengenai keadaan kesihatan guru terbabit, beliau berkata, mangsa mulai tidak sihat pada 5 Mei dan telah mendapatkan rawatan sebanyak dua kali di klinik swasta berhampiran rumahnya.
“Dia kemudian mengalami gejala batuk dan susah bernafas pada 17 Mei sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
“Keadaan mangsa bertambah tenat dan disahkan meninggal dunia kelmarin pada pukul 11.40 malam,” jelasnya.
Ujarnya lagi, Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan juga luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya.
“Setiap individu perlu lebih prihatin dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memerangi pandemik Covid-19 di Malaysia,” katanya.- UTUSAN ONLINE