Akhirnya, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan selepas cadangan mengenainya mula diperkatakan sejak 2010. Ketika itu, usul berkenaan pernah dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun ia tidak dilaksanakan kerana terdapat beberapa pandangan dan bantahan.
Justeru pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin minggu lalu bukanlah perkara baharu sebenarnya.
Pemansuhan UPSR disambut dengan pelbagai pandangan. Bagi pihak yang bersetuju, keputusan itu dilihat langkah bijak kerana sudah sampai masanya sistem pendidikan di Malaysia berubah daripada berorientasikan peperiksaan kepada pendidikan yang tidak memberi tekanan kepada murid, guru dan ibu bapa.
Hal ini disebabkan wujudnya kecenderungan untuk mengejar gred dan ranking sekolah terbaik. Susulan itu ia secara tidak langsung memberi tekanan dan beban yang tidak sepatutnya kepada murid.
Sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan sebenarnya melahirkan murid yang lebih bersifat realistik dan mengutamakan diri sendiri dengan tujuan mendapat keputusan baik dalam peperiksaan. Sedangkan di peringkat usia sebegitu mereka perlu didedahkan dengan ekologi pembelajaran yang merangsangkan.
Mereka seharusnya diberi peluang untuk membina keupayaan diri dalam semua aspek perkembangan melalui persekitaran yang membantu memotivasikan diri untuk belajar.
Bagaimanapun, bagi pihak yang menolak pengumuman pemansuhan UPSR, ketiadaan sistem peperiksaan sebegitu dikatakan akan menyebabkan murid leka dan tidak belajar bersungguhsungguh. Mereka beranggapan hanya melalui peperiksaan sahaja pencapaian murid dapat dinilai dengan baik sekali gus menentukan prestasi akademik sepanjang berada di sekolah rendah.
Sebenarnya, UPSR banyak menghabiskan masa guru dalam mempersiapkan murid. Guru terpaksa menghabiskan silibus bagi mata pelajaran utama yang perlu diambil murid dengan pelbagai kaedah pengajaran bermula dengan pemahaman, hafalan hinggalah latih tubi.
Murid dan guru tidak diberi peluang untuk belajar dan mengajar secara kreatif susulan perlu mengejar silibus sebelum menduduki peperiksaan dalam dewan.
Sedangkan pembelajaran sebenarnya perlu dilakukan dalam suasana menyeronokkan, bukannya keadaan tertekan dan bimbang dengan pencapaian murid dalam UPSR.
Justeru tumpuan sebegitu, mata pelajaran yang tidak tersenarai dalam peperiksaan diabaikan. Misalnya subjek Pendidikan Jasmani dan Seni yang dianggap tidak penting. Ibu bapa pula berlumba-lumba untuk menghantar anak mereka ke kelas tambahan seawal mungkin dan ada sesetengahnya bermula sejak Tahun Satu.
Tujuannya tidak lain, untuk memastikan anak mendapat keputusan yang baik dan dapat memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Sikap sebegini bukan sahaja memberi tekanan kepada anak tetapi ibu bapa itu sendiri terpaksa menyediakan perbelanjaan lebih untuk membayar yuran kelas tambahan. Ini tidak termasuk aspek masa yang digunakan untuk menghantar anak ke kelas tambahan. Bagi keluarga yang tidak berkemampuan mereka hanya mengharapkan kelas tambahan disediakan oleh pihak sekolah.
Bayangkan anak kita menjadi mangsa kepada sistem pendidikan yang tidak memikirkan perkembangan holistik yang sepatutnya berlaku di usia sebegini. Susulan pemansuhan itu, isu lain yang timbul bagaimana murid dinilai untuk kemasukan ke SBP?
Soalan itu mungkin relevan namun tahun lalu, bukankah sudah ada satu mekanisme digunakan untuk menilai, menapis dan memilih murid ke SBP?
Tahun lalu, ketika kes COVID-19 mencanak naik dan sekolah ditutup dalam jangka masa agak lama, sistem pemilihan ke SBP dibuat dengan kaedah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). Menerusi PBS, pencapaian murid dinilai berdasarkan pentaksiran secara holistik dari aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani).
PBD pula murid dinilai berdasarkan tiga komponen utama iaitu Pentaksiran Psikometrik, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum. PBD yang dilaksanakan lebih menjurus kepada membantu dalam perkembangan pembelajaran murid di samping menolong guru menambah baik pengajaran mereka dengan tidak membandingkan tahap penguasaan murid. Ia memberi satu dimensi baharu dalam mengukur penguasaan murid menerusi semua aspek yang dinilai.
Bagi kemasukan ke SBP, KPM melakukan pemilihan menerusi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus. Pelaksanaannya dibuat sejak tahun lalu susulan pembatalan UPSR. PKSK adalah satu kaedah pentaksiran standard secara berpusat bagi kemasukan murid ke Tingkatan 1 ke sekolah khusus bagi tahun 2021 secara dalam talian menggunakan kaedah 'single entry point'.
'Single entry point' ini merujuk kepada sistem permohonan yang menggunakan platform berpusat secara dalam talian bagi kemasukan ke sekolah khusus menggunakan padanan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM). Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana masih ada cara terbaik untuk membolehkan anak mereka ke SBP.
Namun adalah dicadangkan untuk Kementerian Pendidikan (KPM) meneliti dengan lebih terperinci keperluan dalam menyediakan pentaksiran ini dari aspek kemahiran guru dan jumlah murid dalam kelas.
Perkara paling akhir yang kita inginkan adalah membebankan guru dengan menyediakan laporan kemajuan murid yang akhirnya guru sendiri tidak telus dalam menyediakan laporan itu.
Pemansuhan UPSR akan menjadi satu tanggungjawab besar dalam pendidikan bagi memastikan murid diberi keutamaan dalam menggilap potensi diri mereka dalam semua aspek selari dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Secara mudahnya, kita tidak lagi membebankan mereka untuk memenuhi hasrat orang dewasa sedangkan kita sendiri tidak memenuhi fitrah naluri mereka sebagai kanak-kanak.
Semoga generasi tanpa UPSR ini akan menjadi pewaris negara yang berpotensi dalam semua aspek perkembangan.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim