Monday, 17 May 2021

PKP penuh perlu dipertimbang di Selangor - Dr Adham

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mencadangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di Selangor jika usaha sedia ada masih gagal mengekang lonjakan kes di negeri itu.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, bersetuju supaya prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dilaksanakan di Selangor, yang mencatatkan lebih 1,000 kes setiap hari ketika ini.


Katanya, pelaksanaan PKP di seluruh negara ketika ini membolehkan KKM melaksanakan lebih banyak ujian dan pengasingan serta merawat kes positif, di samping kerjasama kerajaan negeri untuk mengendali ujian RTK-Antigen di kawasan ada kaitan epidemiologi yang tinggi.


"Ia juga membenarkan kita melaksanakan pengesanan kontak lebih cepat dan melaksanakan keseluruhan pencegahan dan kawalan kesihatan awam.


"Namun saya bersetuju bahawa kita perlu mencadangkan kepada kerajaan supaya SOP lebih ketat dilaksanakan.


"Jika membabitkan ketidakupayaan mengekang jangkitan, maka cadangan pelaksanaan PKP penuh boleh dipertimbangkan," katanya pada sidang media mingguan secara maya, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah kawalan yang longgar di Selangor walaupun negeri itu mencatat lonjakan kes harian melebihi 1,000 secara berterusan ketika ini.


Selangor kembali mencatat lonjakan kes melebihi 1,000 sejak 23 April lalu dan berterusan merekodkan kira-kira 1,100 hingga lebih 2,200 kes antara 5 Mei hingga hari ini.


Mengulas lanjut, Dr Adham menzahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes COVID-19 kategori tiga, empat dan lima, khususnya dalam kalangan orang muda sejak kebelakangan ini.


Katanya, peningkatan itu berkait dengan beberapa penemuan varian baharu yang dimaklumkan sebelum ini, iaitu varian Afrika Selatan B.1.351, varian United Kingdom B.117, varian Nigeria B1.525 dan varian mutasi berganda India B.1.617.1.


Bagaimanapun, katanya, hanya dua kes varian India dikesan setakat ini, manakala vaksin Pfizer disahkan berkesan terhadap vaksin Afrika Selatan, United Kingdom dan Nigeria.


"Kebanyakan kes meninggal dunia pula membabitkan kes komorbiditi, iaitu individu yang ada beberapa penyakit selain COVID-19, seperti kencing manis, masalah buah pinggang, jantung atau pernafasan.


"Golongan yang kerap masuk unit rawatan rapi (ICU) dan berada pada kategori empat dan lima pula adalah yang lambat buat saringan apabila bergejala dan yang menunggu hasil keputusan sebelum didapati positif," katanya.


Mengenai langkah Hospital Sungai Buloh menyediakan kontena khas sebagai tambahan tempat simpanan jenazah mangsa COVID-19, Dr Adham menjelaskan ia adalah persiapan menambah ruang mayat susulan berlaku lonjakan kes kematian di hospital itu sejak dua hari lalu.


Katanya, sebanyak 14 kematian direkodkan Hospital Sungai Buloh dalam tempoh dua hari, iaitu lapan kematian pada 15 Mei dan enam kematian semalam.


"Kita buat persiapan supaya lebih banyak ruang untuk jenazah ditempatkan sebelum kita dapat uruskan pengebumian kerana mengurus jenazah COVID-19 tak semudah seperti mengurus jenazah biasa.


"Setiap kes kematian perlukan siasatan lengkap. Ada yang perlu bedah siasat, kemudian pengambilan sampel dan menunggu hasil keputusan, selain mendapatkan perincian keluarga dan kontak rapat jenazah," katanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon