PERSOALAN mengenai buku kerja tambahan (BKT) antara yang sering dibangkitkan oleh guru, ibu bapa dan pihak lain berkepentingan.
Pelbagai pendapat dikemukakan, ada yang menyifatkannya sebagai keperluan dalam usaha meningkatkan pencapaian akademik murid tetapi ada yang berpandangan sebaliknya.
Namun, persoalan yang lebih utama adakah BKT ini menepati kehendak kurikulum dan silibus sesuatu mata pelajaran? Selain itu penggunaan BKT juga menimbulkan persoalan, adakah buku teks yang dihasilkan dengan kos berjuta ringgit tidak mampu membantu murid menguasai mata pelajaran yang diajar?
Apatah lagi buku teks dihasilkan telah melalui proses yang cukup lama, ditulis oleh pakar dalam bidang berkenaan selain berpengalaman mengajar dan tahu kehendak murid.
Malah, buku teks kemudiannya dinilai pula oleh pakar pendidik dari universiti awam, swasta juga institut pendidikan guru sehingga ia mencapai standard yang ditetapkan oleh KPM.
Jadi, alasan kebergantungan kepada buku teks tidak dapat membantu murid mempelajari dan menguasai tajuk atau mata pelajaran adalah tanggapan dangkal dan kurang tepat.
Belum ada kajian yang jelas menyatakan bahawa buku teks yang dihasilkan atau yang digunakan oleh murid di sekolah rendah dan menengah tidak sesuai.
Jika ada data atau kajian, dapatan yang ditemui menyatakan bahawa buku teks tidak sesuai dengan tahap kognitif murid. Itu pun hanya membabitkan sebahagian kecil tajuk. Selebihnya ia diakui memenuhi kurikulum.
Perlu juga diingat kandungan kurikulum buku teks menjadi asas kepada pembinaan soalan peperiksaan. Oleh itu, guru perlu menggunakan buku teks untuk mengajar sesuatu mata pelajaran itu.
Buku teks juga dibina mengikut Standard Pembelajaran (SP) dalam Dokumen Standard Kurikulum Pendidikan (DSKP). Oleh itu, ia memerlukan guru untuk mengembangkan idea dan kreativiti semasa mengajar mengikut SP yang ditetapkan.
Hal ini tidak ada dalam BKT kerana sifatnya yang lebih berbentuk peperiksaan walaupun dibina mengikut kandungan kurikulum sesuatu mata pelajaran itu.
Bagaimanapun, BKT masih digunakan di kebanyakan sekolah atas tujuan penggayaan dan pengukuhan tajuk.
Malah sebelum ini Kementerian Pendidikan (KPM) ada mengeluarkan pekeliling mengarahkan semua guru besar, pengetua dan guru mematuhi pekeliling penggunaan BKT dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP), tetapi hal itu tidak bermakna KPM menghalang kreativiti dan inovasi guru dalam mengajar.
Justeru, BKT dibenarkan sebagai alat bantuan mengajar namun guru tidak boleh bergantung kepadanya sehingga mengabaikan penggunaan buku teks.
Justeru, dalam hal ini kedua-duanya harus digunakan secara seiring kerana BKT yang baik tidak dapat dinafikan boleh membantu guru.
Terdapat beberapa kelebihan menggunakan BKT. Umumnya dalam buku teks turut diselitkan aktiviti berkaitan tetapi setakat pemahaman sahaja. Jadi untuk membantu murid lebih faham sesuatu tajuk, BKT diperlukan dengan syarat guru tidak mengabaikan penggunaan buku teks.
Kebanyakan BKT dibina mengikut format peperiksaan. Jika seseorang guru itu tidak ada pengalaman menanda kertas atau baru mengajar, sukar untuk mereka mengaitkannya dengan bentuk soalan peperiksaan. Jadi guru memerlukan bahan tambahan untuk menerangkan kepada murid apa yang dipelajari apatah lagi jika membabitkan peperiksaan.
Dalam hal ini, BKT dapat membantu memberi tunjuk ajar kepada murid, termasuklah bentuk soalan atau format peperiksaan yang tidak ada dalam buku teks.
BKT juga memberi pendedahan kepada murid pelbagai bentuk dan aras soalan. Bagi murid pandai dan tinggi kognitifnya, kandungan buku teks tidak mencabar keupayaan mereka. Sebab itu, BKT mempunyai pelbagai bentuk aras soalan yang menguji tahap kognitif pelajar pelbagai tahap pencapaian.
Murid yang mempunyai keupayaan kognitif yang tinggi (IQ), mereka memerlukan tambahan aktiviti lebih daripada apa yang ada dalam buku teks. Bagi murid IQ sederhana, mereka juga memerlukan BKT untuk membuat latihan pengukuhan, manakala murid yang lemah IQ, BKT dapat sebagai buku pemulihan dan menarik minat mereka dengan mata pelajaran yang diajar.
Oleh kerana sistem pentaksiran bilik darjah menggunakan pelbagai kaedah, maka guru perlu lebih kreatif dalam mengajar dan menilai murid.
Justeru, BKT dapat dijadikan bukti kepada keberhasilan murid dalam sesuatu tajuk atau subjek dipelajari yang mana sebahagiannya tidak terdapat dalam buku teks.
Malahan penggunaan BKT dapat menjadi penggerak kepada pembabitan murid di dalam bilik darjah. Jika guru ingin melihat pembabitan atau pemahaman murid dengan lebih menyeluruh, BKT adalah kaedah terbaik.
Bagaimanapun, jika ditinjau senario dalam bilik darjah, kita akan menyedari pada tahap satu (Tahun Satu hingga Tiga), penggunaan buku teks sudah memadai. Pada tahap ini BKT tidak diperlukan kerana pengisian buku teks sangat bersesuaian dengan tahap mereka.
BKT sebaliknya mula diperlukan di tahap dua iaitu Tahun Empat hingga Enam. Pada tahap ini, BKT membantu mereka lebih memahami apa yang dipelajari yang tidak dapat guru jelaskan di dalam kelas.
Bagi pelajar sekolah menengah, BKT diperlukan bertujuan mengukuhkan lagi pemahaman mereka.
Penulis adalah Pensyarah, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia