30 Mei 2021 - Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu telah tamat dan cuti sekolah selama dua minggu telah pun bermula semalam.
Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti pembangkang dalam kenyataan bersama berkata para guru dan pelajar masih dibelenggu dengan keadaan tiada peranti, capaian internet yang lemah, suasana pembelajaran yang tidak kondusif, sukatan mata pelajaran yang direka untuk pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang tidak sesuai diadaptasi kepada PdPR, kekurangan bahan pengajaran dan pembelajaran atas talian, pelaksanaan TV Pendidikan yang tidak efektif.
PH juga menambah, hal yang sama dihadapi oleh murid-murid di mana 150,000 komputer riba yang dijanjikan sehingga kini masih belum diterima oleh murid-murid daripada keluarga B40.
"Apakah perancangan Kementerian Pendidikan selepas tamatnya sekatan pergerakan tersebut? Bilakah Kementerian Pendidikan akan mengumumkan rancangan seterusnya bagi sesi persekolahan yang akan datang? Adakah murid-murid akan kembali ke sekolah ataupun akan mengikuti kaedah PdPR? Atau apakah pelannya jika sekatan perjalanan dilanjutkan atau ditamatkan? Kita tidak mahu keputusan di saat terakhir seperti kelazimannya," soal jawatankuasa tersebut.
Jawatankuasa itu juga mempersoalkan berkenaan SOP pengurusan COVID-19 yang dikatakan tidak berkesan serta membimbangkan ibu bapa dan warga sekolah.
"Warga sekolah, terutamnya para guru juga belum diberikan vaksin walaupun telah digesa berkali-kali oleh kami," tambah jawatankuasa itu lagi.
Justeru itu, jawatankuasa tersebut mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia supaya menyatakan pelan persekolah pasca sekatan pergerakan (lockdown) secara telus agar para guru, ibu bapa dan murid-murid dapat membuat persiapan awal semenjak dalam cuti persekolahan lagi.
Tambahnya lagi, pemberian vaksin kepada semua guru perlu disegerakan.
"Pemberian insentif 'one-off' kepada para guru yang telah dan akan menggunakan wang mereka sendiri sepanjang PKP untuk membeli data dan membuat persiapan bantuan mengajar dalam talian," katanya lagi.
"Kegagalan kerajaan persekutuan terutamanya Menteri Pendidikan dan kedua-dua timbalannya di dalam memberikan respons yang pro-aktif akan memberi kesan buruk yang mendalam kepada lebih 5 juta murid pada masa akan datang," jelas jawatankuasa tersebut sebagai penutup kenyataan media mereka.