Sunday, 2 May 2021

Mansuh UPSR bukan keputusan satu malam, tetapi dirancang sejak 2010

Pemansuhan UPSR Bukan Keputusan Satu Malam. Saya terbaca banyak keluh kesah ibubapa dan ramai guru muda yang seakan terkejut dengan pemansuhan UPSR.


Pemansuhan UPSR sudah dirancang sejak tahun 2010 apabila KSSR diperkenalkan. Ketika itu saya dilantik sebagai Jurulatih Utama KSSR negeri Johor seterusnya sebagai Jurulatih Utama KSSR Kebangsaan.


Saya sertakan gambar sijil yang diambil anak sebagai bukti pelantikan Jurulatih Utama berikutan tugas saya sekarang tidak lagi di Lembaga Peperiksaan Putrajaya dan saya tidak-menulis bagi pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia. Saya menulis sebagai Jurulatih Utama dan sebagai seorang ibu.

Ramai Jurulatih Utama ketika itu menerima sijil cantik ini yang ditandatangani oleh Dato' Seri Abdul Ghafar bin Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pelajaran Malaysia ketika itu. Sekarang gelarannya adalah Tan Sri Abdul Ghafar bin Mahmud dan Kementerian Pelajaran kini dikenali sebagai Kementerian Pendidikan Malaysia.


Saya huraikan secara ringkas dalam bahasa yang paling mudah berkenaan perkara-perkara berikut dan peranan ibubapa serta guru dalam membantu "setiap individu anak" meningkatkan Tahap Penguasaan dalam pembelajaran dan seterusnya membantu meningkatkan prestasi anak secara menyeluruh.


Bagi nombor 1 dan 2 boleh rujuk carta Komponen PBS di bawah.


1) PBD = Pentaksiran Bilik Darjah
(PS: oleh guru di sekolah dengan item pentaksiran ditadbir oleh sekolah sepenuhnya: Guru Ajar dan Taksir Tahap Penguasaan Murid Sendiri dalam kelas: Kehadiran Murid Ke Sekolah atau ke Kelas PdPR Online Adalah Penting).

2) PBS = Pentaksiran Berasaskan Sekolah. (PP/PPsi/PAJSK : Bentuk Pentaksiran disediakan di peringkat pusat tetapi ditadbir oleh peringkat sekolah).


PP = Pentaksiran Penguasaan Matapelajaran Berpusat contohnya PT3. Kertas Soalan ditadbir Kementerian tetapi kuasa pelaksanaan peperiksaan diberikan kepada JPN dan PPD dengan pemantauan KPM.


PPsi = Pentaksiran bagi menentukan minat, emosi, sikap dan kecenderungan murid iaitu anak kita cenderung ke arah apa? Mungkin ibubapa peguam hebat tetapi "anak bertuah yang seorang itu" menunjukkan kecenderungan tinggi ke arah seni dalam Pentaksiran PPsi dan boleh pergi jauh dalam bidang seni. Perlu diingatkan hasil Pentaksiran PPsi adalah valid kerana item-item pentaksiran yang dicadangkan kepada sekolah, telah disahkan dan digubal secara kajian mendalam oleh pegawai-pegawai berkelulusan PhD di peringkat Kementerian.


PAJSK = Pentaksiran bagi menentukan tahap fizikal anak. Adakah tubuh badan anak boleh melakukan aktiviti fizikal yang ditetapkan dalam Ujian PAJSK. Item Pentaksiran dari Kementerian, kuasa pelaksanaan dan pentaksiran sepenuhnya oleh guru dan sekolah.


3) Borang Keberhasilan = Guru lengkapkan dua kali setahun. Pertama pada awal tahun dan kedua pada akhir tahun untuk menunjukkan "kemampuan guru dalam meningkatkan" pencapaian penguasaan muridnya (yang dikesan pada awal tahun) dari Tahap Yang Rendah (TP1 / TP2 /TP3) kepada Tahap Yang Tinggi (TP4 /TP5 /TP6).


Apabila "budak yang sama" TP-nya sentiasa rendah diberikan oleh guru dari awal tahun hingga akhir tahun, maka Guru boleh diarahkan untuk memberikan justifikasi (penjelasan) mengapa "budak bertuah yang seorang itu" tidak meningkat prestasinya dalam subjek berkenaan. Jika guru matapelajaran gagal memberi justifikasi kenapa guru memberi TP rendah dari awal tahun hingga akhir tahun kepada "budak yang sama", maka guru boleh mendapat Markah Prestasi Rendah kerana tiada pencapaian dalam pengajaran guru.


Jadi guru-guru kena hati-hati dalam mentaksir. Jangan pejam mata dan letak sahaja "kelas ini bagi 2 orang je la TP6 yang lain bagi TP3" kerana pentaksiran adalah atas "individu murid" BUKANNYA disebabkan "ramai cikgu lain cakap" kelas itu ramai budak tak-pandai.


Mungkin budak itu tidak-pandai dalam linguistik dan dapat TP3 dalam subjek Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Tetapi dalam subjek Matematik yang kita ajar, dia boleh dapat TP6 kerana dia menguasai nombor. Jadi guru kena telus dan "jangan ikut cakap cikgu lain". Pandang muka budak itu dan lihat penguasaan budak itu dalam subjek kita.


4) Ibubapa: Kebimbangan ibubapa sangat difahami, lebih-lebih lagi ibubapa yang mempunyai masalah dengan guru di sekolah. Disini hubungan baik sangat penting.


Maksud hubungan baik bukannya setiap bulan hantar durian kepada Cikgu Sains dan hantar kuih Almond London kepada Cikgu Matematik sebab guru itu suka makan makanan itu. Bukan begitu ya. Kita mahu membanteras rasuah di peringkat akar umbi dan ia mesti bermula dari sekolah.


Maksud "Hubungan Baik" adalah, ibubapa sentiasa peka dengan arahan sekolah dan sedia hadir ke sekolah bagi membincangkan masalah anak apabila dijemput ke sekolah. Pastikan anak siap homework terutamanya jika guru catat di dalam buku latihan anak dengan pen merah "sila siapkan", "sila kurangkan bermain di dalam kelas", "sila kurangkan berangan di dalam kelas", "sila jangan tidur ketika belajar", "sila jangan ponteng lagi". Ini biasanya di tulis oleh guru yang berbudi-bahasa. Jika anak dapat guru yang sound direct maka ibubapa jangan terkejut jika terbaca di dalam buku anak tulisan merah besar "MALAS" atau "SIAPKAN!!".


Ibubapa kena ambil tanggungjawab bersama. Pastikan anak tidur awal supaya anak tidak mengantuk di sekolah. Check buku anak setiap hari. Pastikan anak tidak main game waktu malam persekolahan - ambil hp anak. Pastikan anak buat homework kerana sekiranya ibubapa jenis "rajin me-monteng-kan" anak sekolah kerana ibubapa selalu terbangun lambat, suka saya ingatkan kepada ibubapa.. buku latihan anak boleh digunakan untuk pentaksiran oleh guru sekiranya anak kerap ponteng.


Maka ibubapa kena berhati-hati dalam bab ponteng dan dalam bab homework.


Sekiranya ibubapa sudah "all out" dengan anak serta ibubapa tahu jelas anaknya pandai dalam subjek tertentu tetapi guru subjek itu masih memberikan TP rendah kepada si anak. Ibubapa boleh memohon kepada sekolah untuk guru yang berkenaan menunjukkan bukti dan menjelaskan mengapa si anak dapat TP rendah. Sekiranya guru gagal memberi penjelasan, tambahan pula buku latihan anak itu kemas, cantik dan lengkap. Pentadbir Sekolah boleh meminta guru itu mentaksir semula atau guru lain diarahkan mentaksir murid itu. Ibubapa akan dimaklumkan samada TP anak betul rendah atau sebenarnya tinggi dalam pentaksiran.


Perlu diingatkan sekali lagi. Pentaksiran merujuk kepada Individu Murid.


Jika abangnya pandai, maka belum tentu adik dapat TP tinggi. Jika kelas itu memang kesemua muridnya menguasai subjek itu, maka guru beri sahajalah TP6 kepada semua murid. Jangan takut untuk beri TP tinggi kerana guru bimbang PPD dan JPN akan pertikaikan.


5) Pegawai PPD dan JPN. 

Lebih baik semua pegawai peringkat atasan di KPM, JPN dan PPD kembali kepada buku Prosedur PBS iaitu PENTAKSIRAN GURU ADALAH MUKTAMAD DENGAN BUDI BICARA.


Maksudnya: Jika Guru Bahasa Melayu Beri Semua Murid Dalam Kelas 6 Baiduri Tahap 6 (TP6 - tahap tertinggi). Maka Pegawai JPN dan Pegawai PPD TIDAK-LAYAK menyuruh Guru BM itu menurunkan TP Pentaksiran Murid kerana pegawai JPN dan PPD "tiada dalam kelas semuka atau kelas online ketika pentaksiran itu berlaku".


Jangan sesekali Pegawai JPN dan PPD "menyuruh guru mengajar semula dan mentaksir semula, murid yang sama dengan topik yang sama" semata-mata untuk lihat betulkah murid-murid itu layak dapat TP6. Perkara ini ada berlaku di beberapa negeri. #KPM


Begitu juga jika guru memberi TP 1 atau TP2 (rendah) kpd murid pada Akhir Tahun Semasa, ibubapa BERHAK memohon pihak sekolah dan guru memberi justifikasi mengapa anak mereka dapat pencapaian TP rendah. Adakah faktor masalah kesihatan, penglihatan, guru tidak pandai mengajar kerana subjek itu bukan opsyen guru itu dan sebagainya.


Tujuan pentaksiran Bilik Darjah (PBD) adalah supaya guru fokus kepada peningkatan pencapaian SETIAP INDIVIDU murid di dalam kelas yang diajar.


Tiada lagi murid dapat nombor 1,2,3. Yang ada cuma "berapa orang dalam kelas itu mampu menguasai pembelajaran dan dapat TP6, TP5 dan TP4".


Jika kesemua murid dalam kelas itu dapat TP6 dalam subjek Matematik.. Alhamdulillah. Bersyukurlah. BUKANNYA mempertikaikan Pentaksiran Guru itu. Guru itu lebih kenal anak muridnya kerana Pentaksiran itu berlaku dalam masa satu tahun pembelajaran semasa.


Murid dapat TP3 ke bawah pada PBD Akhir Tahun kebiasaannya murid yang lemah dalam pembelajaran. Ini yang KPM mahu kesan.


Sekali lagi saya ingatkan.. gangguan kepada guru dan sekolah oleh JPN dan PPD akan mencacatkan pentaksiran sebenar serta menyukarkan KPM dan Kerajaan mencari penyelesaian.


Jika murid layak dapat TP tertinggi - ada justifikasinya. Satu kelas berhak dapat TP6 jika sememangnya kesemua murid dalam kelas itu menguasai semua topik pembelajaran subjek itu pada tahun semasa itu. Jangan guru memilih-milih untuk bagi 5 org TP6 yang lain TP5 dan TP4. Salah!!!


Jika murid dapat TP Rendah - justifikasi guru mestilah jelas, jika tidak guru akan diminta membuat pentaksiran semula atau Pentadbir atau guru lain diarahkan membuat pentaksiran lain ke atas murid berkenaan. Ibubapa ADA HAK untuk tahu kenapa anak mereka "tidak mencapai Tahap PBD" yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia pada Akhir Tahun semasa.


Saya cadangkan kepada semua Pegawai KPM, Pegawai JPN, Pegawai PPD, Pentadbir Sekolah dan Guru-Guru.. Baca Semula Buku Prosedur Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan fahami setiap satu ayat pada setiap halaman dengan jelas supaya tiada murid yang teraniaya seandainya berlaku Pentaksiran Yang Salah sedangkan murid itu layak dapat TP Tertinggi iaitu TP6 pada tahun semasa itu.


Ketelusan dan Keadilan Guru dalam Pentaksiran PBD untuk matapelajaran masing-masing sangat penting kerana ianya membabitkan masa depan seorang insan.


Semoga Allah SWT membantu kita semua bersikap telus dan adil demi membangunkan generasi muda Malaysia yang bakal memimpin Negara di masa hadapan. aaminnn.


Dr. Kayra,

Putrajaya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon