Melaka Action Group for Parents in Education (Magpie) mempertikaikan kenapa kementerian pendidikan sekadar mendiamkan diri berhubung dakwaan Ain itu, malah menyoal sama ada ia sekadar membiarkan perlakuan guru terbabit.
Pengerusi Magpie Mak Chee Kin juga memetik laporan bahawa pelajar itu dikenakan amaran kerana tidak hadir ke sekolah, sedangkan guru terlibat dan rakan sekelas yang mengugutnya dengan rogol tidak langsung dikenakan tindakan.
“Pengurusan sekolah dan kementerian pendidikan mesti memberi penjelasan kenapa surat amaran dikeluarkan terhadap pelajar itu, sedangkan bapanya telah menemui mereka.
“Apa mesej yang sebenarnya mahu diberikan kepada pelajar? Supaya berdiam diri sekalipun merasakan sesuatu tidak betul? Supaya sekadar menerima saja apa yang diajar di sekolah?
“Kami menggesa tindakan pantas diambil. Kanak-kanak perempuan kita perlu dilindungi dan sekolah mesti menjadi tempat selamat untuk semua,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.