Wednesday, 5 May 2021

Kempen ponteng sekolah protes bantah budaya rogol, gangguan seksual tidak selesai masalah

Gesaan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta murid dan guru tidak hadir ke sekolah sebagai protes untuk membantah budaya rogol dan gangguan seksual tidak akan menjamin penyelesaian tuntas kepada isu ini.


Protes ini di luar kerangka gesaan dan hasrat membentuk persekitaran persekolahan lebih selamat.


Bahkan ia bertentangan hasrat murni menjadi asas kempen #makeschoolasaferplace, dicetuskan kes seorang guru dikatakan membuat jenaka lucah ketika pembelajaran. Pada era COVID-19, setiap detik sesi persekolahan sangat mahal. Sudah 35 minggu sekolah di negara ini ditutup sejak Mac 2020 hingga akhir April lalu.


Ini bermakna, murid kehilangan pembelajaran berkualiti secara bersemuka sudah lebih 175 hari. Justeru, advokasi secara protes sebegini tidak sesuai dalam konteks falsafah pendidikan.


Protes sebegini akan menjejaskan proses pendidikan secara keseluruhannya meliputi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) menerusi aktiviti akademik serta kegiatan kokurikulum.


PdP ini penting untuk menyerlahkan nilai positif perlu dipupuk dalam generasi muda yang boleh menjadi teras bagi menghakis gejala keji seperti gangguan seksual daripada berakar umbi.


Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Memperjuangkan isu kesedaran dan maruah bukan dengan menghancurkan maruah ilmu serta bilik darjah, sekali gus memperlekehkan kepentingan persekolahan, waima sehari ataupun satu waktu mata pelajaran.


Membangun suatu kebaikan bukan dengan meruntuhkan kebaikan lain. Jangan pula gerak kerja dalam ruang demokratik ini membawa kepada jalur ekstrem merosakkan generasi muda.


Justeru, menyeru dan mengajak protes ponteng secara semberono hanya menghilangkan makna serta erti alam persekolahan, iaitu wadah penting untuk menyuburkan budaya ilmu membina generasi berkarakter serta mempunyai adab mulia.


Oleh itu, konotasi cuba mengesampingkan aspek adab daripada usaha menangani gangguan seksual tidak sewajarnya dijadikan justifikasi kempen semberono seperti ini.


Usaha menormalisasikan gangguan seksual adalah gejala jijik perlu ditentang. Namun, kesalahan mungkin dilakukan segelintir tidak profesional tidak seharusnya menafikan peranan penting sekolah dan guru dalam pendidikan itu sendiri.


Pendidikan seksual sebahagian silibus dalam pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK). Ia diajar merentas kurikulum sejak 1994.


Peranan badan seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh diberdayakan untuk menjayakan usaha melindungi murid daripada menjadi mangsa gangguan seksual.


Usaha advokasi perlu ditumpukan pada peringkat penggubalan dan pelaksanaan dasar. Ia memerlukan libat urus dengan pelbagai pemegang taruh terbabit secara langsung.


Kesedaran masyarakat juga perlu dilakukan dengan hikmah dan secara strategik. Masyarakat perlu disedarkan bahawa pentingnya maruah murid, guru, serta sekolah perlu dipertahankan sesuai martabat serta peranannya dalam pendidikan.


Tumpuan perlu diberikan untuk menyedarkan betapa perilaku jelik sekelompok kecil tidak bertanggungjawab perlu dibanteras kerana mencemari kemurnian profesion perguruan. Guru wajib menjadi teladan kepada murid, bukan membiarkan gangguan dan gurauan seksual dinormalkan.


Sesungguhnya pendidikan ialah proses berterusan dan panjang. Ia perlu dilakukan dengan penuh kesabaran, ketenangan serta berpaksikan hikmah. 'Sekolahku syurgaku'; Sekolah wajib menjadi tempat selamat.


Rasanya, tidak ada siapa menentangnya. Malah, kita perlu akui ada banyak ruang menambah baik sistem persekolahan sedia ada, khususnya di sekolah kebangsaan. Jelas, perilaku jelik gangguan seksual tidak boleh dibasmi sepenuhnya dengan nyalaan emosi keterlaluan dan merosakkan.


Gerakan advokasi seperti ini perlu diperjuangkan menerusi jalur pertengahan untuk mengelakkan sebarang polemik baharu melelahkan. Kempen kesedaran perlu diteruskan bagi membina karakter terbaik sistem persekolahan yang sentiasa memerlukan saranan dan penambahbaikan dari semasa ke semasa.


Kementerian Pendidikan (KPM) wajar mengambil keprihatinan persoalan ini dengan langkah proaktif dan tegas dalam menangani kejelikan ini berlaku dalam sistem persekolahan kebangsaan.


Pada masa sama, Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual perlu dibentangkan untuk dilaksanakan secepat mungkin. RUU ini penting untuk memandu proses perundangan diperlukan untuk melindungi murid, guru serta maruah sekolah daripada terpalit dengan gejala memualkan ini.


Suasana persekolahan selamat ialah impian wajib direalisasikan supaya ibu bapa dan anak tidak lagi perlu khuatir akan keselamatan diri untuk ke sekolah.


Penulis adalah Naib Presiden (Pendidikan, Kebudayaan dan Kenegaraan), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon