Tatkala kecoh seantero negara seorang murid yang mendakwa guru lelakinya membuat kenyataan kontroversi berkenaan jenayah rogol di dalam bilik darjah, guru sendiri tidak terkecuali menjadi mangsa gangguan seksual oleh muridnya sendiri, terutama guru-guru wanita.
Perkara ini dikongsikan oleh seorang guru wanita, Nad Masrom di dalam satu hantaran Facebook beliau. Nad Masrom juga merupakan seorang Kaunselor Penyusuan Ibu yang bertauliah.
APA SAYA BUAT BILA MENJADI MANGSA KOMEN LUCAH?
Mungkin ada yang sudah tahu kini saya aktif berkongsi ilmu penyusuan di tiktok. Saya mula menjebakkan diri sejak bulan September tahun lalu.
Bukan mudah sebenarnya berkongsil ilmu di sana kerana setiap hari saya akan menerima komen berbaur kecaman dan lucah atas perkongsian saya.
Paling sedih bila saya dikecam oleh golongan wanita sendiri kerana dikatakan telah memilih PLATFORM yang salah.
"Kongsi jelah dalam group ibu-ibu. Tak tahu ke kat sini ramai budak bawah umur?"
Ada juga yang back up saya, mengatakan ibu bapa yang sepatutnya memantau apa yang anak-anak tonton di tiktok. Bukan menyalahkan saya yang sedang berkongsi ilmu pendidikan.
Namun yang lebih menyedihkan adalah komen-komen lucah yang tak putus setiap hari dari golongan lelaki yang bergelar bapa, lelaki bujang, dan paling ramai golongan remaja yang saya kira sebahagiannya adalah pelajar sekolah tak kira pelajar perempuan atau lelaki.
Ada juga golongan remaja ini yang saya lihat akaun profilnya masih di bawah umur. Siap tag kawan masing-masing di komen bila video saya masuk fyp untuk 'travel' bersama.
Mula-mula saya tak faham maksud istilah TRAVEL. Sebab yang guna perkataan tu ialah anak-anak muda. Kemudian barulah saya tahu yang perkataan 'travel' itu merujuk kepada bayangan mereka kepada payudara sebenar bila lihat saya sedang demonstrasi tentang penyusuan susu ibu. Siap ada yang tanya, saya beli kat mana 'payudara' tu sebab "macam best je" kata mereka.
Perasaan jijik?
Tentulah ada tapi saya sedar yang saya tak boleh mengalah untuk memberitahu semua yang ada di sana bahawa PENYUSUAN SUSU IBU BUKAN SUATU YANG LUCAH!
Kalau isu lawak rogol yang tular buat masa ini dikatakan tidak patut berlaku sama sekali, sama juga dengan lawak melucahkan tentang PENYUSUAN SUSU IBU yang mana ia juga tak patut berlaku.
Bagaimana mereka tegar melucahkan tentang penyusuan susu ibu sedangkan kita semua lahir dari rahim seorang wanita dan pernah disusukan di payudara ibu kita?
Kalian boleh baca komen-komen yang saya terima itu di bawah. Saya tutup nama mereka. Komen asal masih ada di post video saya di tiktok.
Ada akaun murid sekolah (berbaju sekolah lagi), ada lelaki bujang dan ada yang sudah berkahwin juga.
Apa respons saya?
Saya tak cepat melatah sebab inilah hakikat yang saya perlu terima tentang mentaliti sebahagian rakyat Malaysia.
Berdepan gangguan seksual daripada murid sendiri
Sebagai guru, saya juga pernah berhadapan dengan gangguan seksual dari murid lelaki sendiri. Ada yang berani menggunakan helah dan berjumpa untuk bertanya soalan tapi hakikatnya mengambil kesempatan.
Ini kes lama, dan bukan saya sahaja malah ada juga rakan-rakan guru lain yang menerima nasib yang sama. Kawan saya juga pernah melalui pengalaman yang traumatik bila kisahnya tular di laman web lucah kerana diimaginasikan adegan 'bersama' oleh murid lelaki lain yang obses terhadapnya.
Masa tu kami ambil tindakan melaporkan terus kepada pihak berkuasa dan berjumpa dengan ibu bapa murid tersebut. Mujurlah masa tu kami tak terfikir nak tularkan. Sebab kami masih lagi mengambil berat tentang masa depan murid-murid ini.
Isu melucahkan tentang tubuh seorang wanita bukanlah sesuatu yang boleh dibuat lawak jenaka. Saya juga acapkali diganggu secara personal selepas beberapa post atau video pendidikan tentang penyusuan susu ibu saya tular di media sosial.
Beberapa kali saya menerima PM dari lelaki yang ayatnya sangat jijik untuk dibaca. Ada yang tanpa segan silu minta saya tunjukkan secara real agar mereka lebih faham. Selalunya saya block sahaja. Dan jika berlarutan saya akan ambil tindakan yang sepatutnya. Dan saya tak boleh mengalah atau membiarkan komen tidak senonoh ini menghalang saya dari terus menyebarkan ilmu.
Hakikatnya, berapa ramai golongan lelaki yang bergelar suami sanggup bantu isteri mereka bila berhadapan dengan masalah penyusuan susu ibu? Saya gembira Akhi Fairuz Al-Jengkawi kini mula menjebakkan diri di tiktok. Rasa 'terbela' sedikit bila ada golongan lelaki yang akan selalu ketengahkan tentang isu berkaitan pendidikan seks ini.
Dan saya harap kesedaran golongan lelaki tentang ilmu penyusuan juga akan mula meningkat selepas mereka boleh bezakan yang benar dan batil. Ilmu penyusuan susu ibu adalah suatu yang murni dan beberapa kali disebut tentangnya dalam al-qur'an.
Usahlah meremehkannya dan memandang serong pula golongan kami yang menyusukan bayi di khalayak. Selagi kita terutama golongan suami masih ada mentaliti kotor tentang penyusuan susu ibu, maka peratusan ibu-ibu yang ingin menjayakan penyusuan secara esklusif selama 6 bulan dan seterusnya penuh sehingga 2 tahun akan terus rendah.
Kaunselor Laktasi Bertauliah
@nadmasrom TIPS PUTING RATA ##nadbreastfeedinginfo ##breastfeedingcounselor ##breastfeedingtips ##tipspenyusuan ##healthcheck
♬ original sound - Nad Masrom