![]() |
Tokoh Guru 2021 Noorizan Mohammed |
PUTRAJAYA: Guru perlu bekerja lebih keras berbanding sebelum ini bagi menyesuaikan diri dengan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) ketika pandemik COVID-19 pada masa ini.
Penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2021, Noorizan Mohammed, berkata pandemik menyebabkan guru berdepan cabaran kerana daripada mengajar secara bersemuka kini berubah kepada secara dalam talian, sekali gus menjadikan mereka perlu lebih kreatif bagi menarik perhatian murid.
"Selepas lebih dua tahun negara melalui cabaran mendepani wabak COVID-19, guru akan terus menjayakan misi penting mereka iaitu mengajar dan mendidik murid.
"Bagi guru, tugas mendidik berjalan seperti biasa, namun mereka perlu bekerja lebih keras berbanding sebelum ini dan perlu lebih kreatif bagi menyesuaikan diri dengan proses PdPR diperkenalkan KPM ketika pandemik ini," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama, RTM dan DidikTV KPM di sini, baru-baru ini.
Bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, Selangor itu, berkata pendidik kini perlu lebih peka kepada perubahan dan transformasi pendidikan untuk melahirkan murid cemerlang secara holistik termasuk dari segi akademik, kokurikulum serta sahsiah.
Noorizan yang berkhidmat sebagai guru selama hampir 35 tahun mengakui murid ketika ini tidak hanya perlu mendengar apa yang diajar guru, tetapi juga perlu berinteraksi secara dua hala supaya mereka dapat berfikir dengan baik.
"Maknanya, guru perlu memperbanyakkan program membentuk kemenjadian murid di sekolah supaya mereka lebih kreatif, berinovasi dan berdikari," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, disebabkan penularan COVID-19, tugas guru kini semakin mencabar apabila mereka tidak boleh mengajar secara bersemuka, sebaliknya perlu mengadaptasi dengan kaedah PdPR.
Beliau yang kini berkhidmat sebagai penasihat pendidikan untuk Program Sekolah Amanah di Jeli, Kelantan, berkata bagi sekolah di kawasan pedalaman, guru perlu kreatif menyiapkan modul kepada murid yang menghadapi kekangan peranti atau rangkaian.
"Mujur ibu bapa semakin faham dengan PdPR dan guru juga semakin kreatif, berinovasi dan pandai mengajar menggunakan kaedah itu, malah murid juga lebih banyak terbabit berbanding tahun lalu," katanya yang berazam terus menabur bakti dalam bidang pendidikan.
Dua bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim dan Datuk Dr Amin Senin pula dipilih Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2021.
Turut menyentuh isu PdPR, Habibah berkata, pandemik COVID-19 adalah antara cabaran sukar bukan saja untuk KPM, tetapi juga sekolah, guru dan ibu bapa yang mempunyai anak di rumah.
Beliau berkata, beberapa keputusan sukar perlu dibuat untuk menjaga keselamatan dan kesihatan murid, pada masa sama perlu juga pastikan PdP tidak ditinggalkan secara berterusan dalam situasi itu.
"Belajar secara dalam talian tidak sama dengan pembelajaran secara bersemuka dalam bilik darjah. Kita tahu ada murid yang on (log masuk) saja tetapi video tidak dibuka. Jadi kita tidak tahu secara fizikal dia ada di situ atau tidak.
"Jadi, perlu ada kreativiti guru bagi memastikan murid dapat bersama dalam PdPR, sekali gus murid terus bermotivasi untuk belajar walaupun secara dalam talian," katanya.
Habibah yang berpengalaman 34 tahun dalam bidang pendidikan, pernah berkhidmat sebagai guru mata pelajaran Biologi di tiga sekolah menengah selama tujuh tahun sebelum melanjutkan pelajaran peringkat sarjana dan kemudiannya ditugaskan di KPM.
Amin pula berkata, pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sepenuhnya menunjukkan sistem pendidikan negara kini berada di landasan yang betul.
Bekas guru mata pelajaran Matematik itu berkata, hasrat awal pelaksanaan UPSR bagus untuk memberikan satu gambaran awam mengenai penguasaan murid sekolah rendah, tetapi akhirnya tujuan peperiksaan berkenaan 'disalahgunakan' sehingga memakan diri sistem pendidikan.
"Cuma sekarang kita kena fikirkan alternatif kepada UPSR. Disebabkan ia dimansuhkan, kita perlu pendekatan bagaimana boleh mendapatkan data berbentuk normatif yang memberi gambaran keseluruhan pencapaian murid sekolah rendah.
"Namun, pandemik COVID-19 turut membawa rahmat, ia membantu kita berpatah balik untuk memastikan pelajar belajar. Ketika pandemik ini, orang tidak berbincang mengenai peperiksaan, sebaliknya tumpuan bagaimana pelajar boleh belajar," katanya.
Ketiga-tiga tokoh itu menerima anugerah daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2021.
Mereka masing-masing menerima hadiah bernilai RM50,000 dan sijil penghargaan. – BERNAMA