![]() |
Prof. Datuk Dr Mohd Fadzil Abdul Rahman |
KUCHING: Kurikulum di Institut Perguruan dan fakulti pendidikan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) harus dikaji dan disesuaikan semula agar seiring dengan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta pembatalan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) untuk tahun ini.
Penolong Naib Cancelor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Datuk Dr Mohd Fadzil Abdul Rahman, berkata jika itu tidak dilaksanakan, inisiatif baharu yang diperkenalkan itu tidak akan mencapai matlamatnya.
"Sudah tiba masanya juga bagi para pendidik sendiri diberikan latihan intensif dan kefahaman yang jitu berhubung kaedah dan konsep penilaian baharu dalam dunia pendidikan seiring dengan keputusan untuk memansuhkan peperiksaan itu," katanya mengulas keputusan kerajaan memansuhkan UPSR mulai tahun ini manakala PT3 tahun ini dibatalkan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata susulan pemansuhan UPSR, pihaknya akan memperkasa secara menyeluruh Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
Dalam pada itu, Mohd Fadzil menyifatkan pemansuhan UPSR adalah wajar kerana sudah tiba masanya untuk melaksanakan kaedah pengukuran baharu dalam menggantikan peperiksaan.
Jelasnya sistem peperiksaan yang sejak sekian lama diamalkan itu mungkin sudah tidak lagi sesuai dalam sistem penyampaian dunia pendidikan terkini, mengambil kira kepesatan dan kemajuan teknologi semasa.
"Pemansuhan UPSR adalah satu ruang besar untuk mengetengahkan idea dan konsep baharu dalam konteks penilaian pelajar. Tiada niat untuk merendahkan sistem penyampaian sedia ada yang telah banyak berjasa dan melahirkan insan yang hebat selama ini, cuma sistem yang dipraktikkan selama ini pastinya memerlukan perubahan dan ia harus bersandarkan kepada kemajuan dan keperluan semasa mengikut peredaran zaman.
"Maka tindakan untuk memansuhkan peperiksaan seperti UPSR dan sebagainya diyakini akan dapat melahirkan pelajar yang tidak hanya mengejar skor A dalam peperiksaan semata-mata dan mewujudkan pelajar yang memiliki kriteria seiring dengan tuntutan semasa," katanya.