Saturday, 24 April 2021

SUHAKAM gesa guru didakwa

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa Kementerian Pendidikan mengambil tindakan tegas terhadap guru dan sekolah melanggar hak serta maruah pelajar dengan melakukan pemeriksaan kemaluan bagi mengesahkan dakwaan pelajar perempuan tidak berpuasa kerana datang bulan.


Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam, Noor Aziah Mohd Awal berkata, guru yang didapati melakukan amalan itu perlu didakwa di bawah Akta Kanak-kanak 2001 atau Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017.


“Garis panduan mendisplinkan pelajar yang lebih jelas mesti diperkenalkan untuk memastikan tindakan guru salah guna kuasa tidak berulang.


“Semua guru seringkali diingatkan akan tugas mereka sebagai pendidik, dan mereka tidak boleh memberi layanan buruk dan mengganggu pelajar semasa proses pembelajaran dan pengajaran,” katanya dalam kenyataan.


Beliau berkata demikian susulan dakwaan penderaan dan gangguan seksual melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara, antaranya pemeriksaan kemaluan pelajar wanita pada Ramadan bagi membuktikan mereka tidak menggunakan alasan datang haid untuk tidak berpuasa.


Beberapa NGO turut merujuk pemeriksaan ke atas bahagian sulit pelajar untuk memastikan mereka tidak membawa sebarang barangan terlarang (contraband).


Susulan itu, Pengerusi MARA, Azizah Mohd Dun, semalam mengumumkan siasatan akan dijalankan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku melibatkan warga kerjanya.


Aziah berkata, pemeriksaan haid melanggar hak kanak-kanak dan menyalahi undang-undang kerana wujud unsur gangguan dan penderaan seksual.


Katanya, Kementerian Pendidikan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kanak-kanak atau pelajar daripada semua bentuk gangguan dan eksploitasi seksual, seperti dinyatakan di bawah Perkara 34 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).


Beliau berkata, kerajaan wajib memastikan sekolah melaksanakan disiplin sejajar hak dan kemuliaan kanak-kanak susulan ratifikasi Malaysia terhadap Perkara 28 CRC pada 1995.


“Di bawah konvensyen sama, Perkara 16, 19 dan 36 masing-masing menyatakan kanak-kanak mempunyai hak untuk privasi, perlindungan daripada penyalahgunaan, keganasan dan pengabaian, serta perlindungan daripada segala bentuk eksploitasi lain yang merangkumi eksploitasi seksual dan gangguan seksual.”


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon