![]() |
Gambar fail Cikgu Share |
SIBU: Semua sekolah rendah dan menengah di Sibu akan memulakan sistem penggiliran kelas bermula esok bagi mengekang penularan COVID-19 di sekolah.
Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Dr Annuar Rapaee, berkata langkah itu dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan dan kesesakan pelajar ketika berada di sekolah.
"Kita mahu mengurangkan pelajar di sekolah pada satu-satu masa. Pada minggu lalu ketika sesi persekolahan bermula, semua pelajar hadir sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan," katanya dalam satu kenyataan melalui laman media sosial miliknya semalam.
Annuar berkata bagi sekolah rendah Tahun Empat, Lima dan Enam, murid akan memulakan persekolahan pada Isnin, Rabu dan Jumaat, manakala murid prasekolah, Tahun Satu, Dua dan Tiga, bersekolah pada Selasa dan Khamis.
Katanya bagi sekolah menengah pula, pelajar Tingkatan Empat hingga Enam akan hadir seperti biasa, pelajar kelas peralihan dan Tingkatan Tiga akan ke sekolah pada minggu pertama dan ketiga, manakala pelajar Tingkatan Satu dan Dua pada minggu kedua dan keempat.
Annuar berkata pada hari pelajar tidak ke sekolah, mereka akan mengikuti sesi pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Sementara itu, Annuar berkata seramai 223 calon di bandar Sibu yang tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini disebabkan COVID-19 akan menduduki peperiksaan itu melalui penjadualan semula pada 6 hingga 23 April depan. - BERNAMA