Friday, 23 April 2021

NUTP mahu guru diberi cuti kuarantin

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta Kementerian Pendidikan memberi cuti kuarantin kepada guru yang menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.


Setiausaha agungnya, Tan Huat Hock berkata, pihaknya menerima makluman kesukaran guru terbabit yang perlu mengambil cuti rehat khas sebelum menerima surat kuarantin daripada Pejabat Kesihatan Daerah.


Katanya, masalah timbul apabila surat kuarantin daripada pihak berkuasa lewat tiba berikutan peningkatan kes pada masa ini sedangkan kuota cuti rehat khas agak terhad.


“Keadaan ini menyebabkan guru yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19 tiada pilihan lain selain perlu hadir ke pejabat untuk bertugas seperti biasa.


“Atas faktor inilah kebolehjadian mudahnya virus ini tersebar dengan lebih meluas dalam kalangan warga sekolah.


“Paling membimbangkan adalah risiko buat anak murid yang kurang daya ketahanan badan,” katanya dalam satu kenyataan.


Sehubungan itu Huat Hock berkata, pihaknya merayu Menteri Pendidikan, Radzi Jidin supaya mengkaji dan merumuskan jalan terbaik membantu guru terbabit.


“Guru yang diberi cuti kuarantin boleh menjalankan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara dalam talian seperti membuat rakaman pengajaran.


“Anak murid juga boleh meneruskan pembelajaran apabila berada di rumah,” katanya.


Institusi pendidikan negara kini berdepan tekanan apabila beberapa sekolah di seluruh negara diarah tutup berikutan peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan guru dan pelajar.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon