Sunday, 25 April 2021

Murid mahu kelas bersemuka berbanding PdPR

PELAJAR lebih fokus dan dapat berinteraksi
dengan guru secara langsung ketika PdP secara bersemuka
di sekolah mengikut SOP yang ditetapkan.
– GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA- Suasana pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka disifatkan lebih seronok apabila dapat belajar bersama rakan-rakan berbanding seorang diri menerusi kelas online.


PdP bersemuka itu juga membolehkan pelajar menguasai sesuatu subjek lebih cepat apabila dapat berinteraksi bersama guru secara berhadapan sekiranya tidak memahami perkara diajarkan.


Susulan itu, rata-rata pelajar sekolah berharap PdP dapat diteruskan secara bersemuka selepas mereka menghabiskan banyak masa sebelum ini melalui proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).


Berkongsi perkara itu, seorang pelajar Anjana Velaizam berkata, PdP secara bersemuka bukan sahaja menarik malah membolehkannya lebih fokus di dalam kelas.


“Apabila belajar di rumah secara online dan tidak memahami apa diajar guru, saya tidak tahu untuk bertanya kepada siapa, adakala ibu juga memahami subjek itu sekali gus tidak dapat membantu.


“Namun, sewaktu belajar di dalam kelas, kami dapat bertanya kepada guru jika tidak memahami sesuatu perkara yang diajar seterusnya menyelesaikan masalah dengan lebih cepat,” katanya.


Sementara itu,Nur Aina Syakirah Mohd. Haidir pula menyifatkan PdPR seperti sebelum ini menyebabkan dia berasa tertekan dan kurang memahami subjek diajar guru.


“Adakalanya saya tidak faham apa yang diajar oleh guru ketika dalam kelas online selain arahan tugasan kerja rumah yang dihantar melalui aplikasi Whatsapp.


“Saya lebih suka belajar di dalam kelas kerana boleh terus bertanya kepada guru jika tidak memahami sesuatu dan ada kawann-kawan untuk bersembang,” jelasnya.


Selain itu, PdP secara bersemuka yang dilaksanakan ketika ini dilihat berjaya memaksimumkan fokus pelajar di dalam kelas berbanding kaedah PdPR.


Seorang guru Bahasa Inggeris, Randip Kaur Valdersingh berharap diberi peluang mendidik pelajar secara bersemuka kerana menyifatkan lebih berkesan selain mempunyai elemen sentuhan peribadi.


Katanya,indikasi penerimaan pelajar terhadap kaedah itu juga dapat diterjemahkan menerusi kehadiran ke sekolah apabila mencatatkan angka begitu memberangsangkan.


“Jika diimbau kembali, sambutan pelajar terhadap PdPR dilihat kurang menggalakkan, malah sebagai guru kami juga tidak dapat mengawal penglibatan mereka dalam kelas disebabkan beberapa kekangan.


“Ini yang dirisaukan kerana tidak semua pelajar mempunyai kelengkapan mencukupi untuk mengikuti PdPR, ada yang perlu berkongsi dan hanya boleh mengikuti kelas pada waktu malam,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon