Friday, 23 April 2021

KPM perlu wajibkan pembelajaran teradun - Lee

PETALING JAYA: Pembelajaran teradun, iaitu gabungan kelas secara bersemuka dan pembelajaran dalam talian sewajarnya diwajibkan dalam keadaan pandemik. 


Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, ketika kes Covid-19 meningkat di sekolah-sekolah, “pembelajaran teradun sepatutnya menjadi amalan standard sekarang sehingga pandemik tamat.” 


Lee mencadangkan hari bersekolah (pembelajaran secara fizikal) dikurangkan kepada tiga hari. 


“Selebihnya dua hari boleh digunakan untuk pembelajaran jarak jauh, atau pembelajaran kendiri,” katanya kepada FMT. 


Tambahnya, kerajaan patut mengutamakan guru untuk suntikan vaksin. Gesaannya itu susulan banyak sekolah di negara ini ditutup sementara akibat peningkatan kes jangkitan Covid-19 melibatkan guru dan pelajar. 


Setakat 21 April, sejumlah 27 sekolah di Johor ditutup, manakala satu sekolah agama di Kota Kinabalu saja merekodkan 72 jangkitan. 


Sepuluh sekolah agama dan 17 sekolah rendah, menengah serta vernakular di Johor turut ditutup selepas kes positif dikesan antara kakitangan murid dan pelajarnya. 


Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) turut menggesa kerajaan melaksanakan pembelajaran teradun. 


Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata pihaknya mencadangkan pembelajaran teradun kepada kerajaan, baru-baru ini. 


Katanya, kementerian sepatutnya berbincang dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan relevan sebelum memutuskan SOP untuk sekolah-sekolah. 


“Kementerian pendidikan perlu meneliti semula SOP berdasarkan maklum balas NUTP, kerana kami mewakili golongan akar umbi. 


“Jika kita bekerjasama, kita dapat memikirkan penyelesaian yang lebih baik,” katanya. 


Sementara itu seorang guru sekolah menengah di Perak berkata, SOP lebih sukar dipatuhi di sekolah yang sesak. 


“SOP mungkin boleh dilaksanakan di sekolah yang lebih kecil. Bagaimanapun, sekolah saya mempunyai lebih 1,800 pelajar. Sukar mematuhi SOP secara konsisten kerana ruang kami terhad,” katanya kepada FMT. 


Beliau mencadangkan sesi sekolah alternatif sebagai kaedah untuk mengehadkan bilangan pelajar pada satu-satu masa, selain mesyuarat sekolah dibatalkan buat sementara waktu. 


“Saya lebih sukakan pembelajaran teradun. Mungkin dengan bergilir-gilir datang ke sekolah atau mengadakan kelas secara dalam talian yang diselangkan mengikut minggu? 


“Sejujurnya lebih mudah untuk bersemuka dengan pelajar, namun memandangkan keadaan sekarang lebih selamat untuk semua orang duduk saja di rumah. 


“Guru tersepit kerana diminta menggalakkan pelajar datang ke sekolah, namun pada masa sama kami semua bimbangkan keselamatan sendiri kerana ramai daripada kami belum disuntik vaksin. 


“Hanya segelintir guru telah menerima vaksin, kerana mereka mempunyai isu kesihatan.”


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon