Sunday, 25 April 2021

KPM keluar surat arahan penutupan sekolah disahkan mempunyai kes COVID-19


PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan satu surat arahan berkaitan penutupan sekolah yang telah disahkan mempunyai kes COVID-19.


"KPM sentiasa memantau situasi penularan jangkitan COVID-19 yang melibatkan institusi pendidikan di bawah seliaannya.


"Dalam situasi ini, KPM sentiasa mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).


KPM turut memaklumkan bahawa satu sidang khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan COVID-19 telah diadakan pada Rabu lepas dengan beberapa keputusan antaranya sekolah yang disahkan mempunyai kes COVID-19 perlu ditutup selama dua hari mininum.


Ujarnya lagi, dalam tempoh itu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan melaksanakan penilaian risiko dan pengesanan kontak rapat serta memantau kerja-kerja sanitasi dan disinfeksi.


Menurutnya lagi, penutupan sekolah boleh dilanjutkan melebihi tempoh dua hari berdasarkan saranan, nasihat dan penilaian risiko oleh PKD.


"Pengetua, guru besar hendaklah memaklumkan dengan segera kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) jika telah disahkan terdapat kes positif COVID-19 di sekolah," katanya.


KPM turut memaklumkan Pegawai PPD perlu mengadakan perbincangan bersama-sama pengetua atau guru besar dengan pihak PKD pada hari pertama penutupan sekolah bagi menentukan keperluan melanjutkan tempoh penutupan sekolah.


"Bagi sekolah yang telah ditutup dan terdapat kes COVID-19 dalam kalangan warga sekolah yang telah dikuarantikkan, penutupan sekolah tersebut tidak perlu dilanjutkan melainkan dinasihatkan sebaliknya oleh PKD," ujarnya lagi.


Pihak sekolah juga dimaklumkan perlu berhubung dengan ibu bapa atau penjaga dari semasa ke semasa agar maklumat berkaitan tempoh penutupan sekolah dapat disampaikan dengan tepat dan jelas.


Surat berkenaan turut dilengkapi dengan carta alir penutupan sekolah yang disahkan mempunyai kes COVID-19.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon