KUCHING: Kebanyakan guru menggunakan sumber mereka sendiri untuk mengendalikan pengajaran dalam talian sejak setahun lalu, dan Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memberi mereka bantuan kewangan, kata kesatuan.
Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak Ahmad Malie berkata, beban kerja dan waktu kerja yang berlebihan bagi guru menjadi isu yang hangat diperdebatkan sebelum wabak Covid-19 lagi.
“Kini, mereka perlu berbelanja lebih untuk membeli peranti yang lebih sesuai, selain bagi mendapatkan Internet yang stabil supaya kelas dalam talian mereka dapat dilaksanakan dengan berkesan,” kata beliau kepada FMT.
“Mereka tidak mengeluh dan selalu bersedia untuk berusaha lebih agar pelajar mereka tidak ketinggalan. Bagaimanapun, kami berharap KPM dapat mempertimbangkan peruntukan RM1,500 bagi setiap guru setiap tahun bagi tujuan pengajaran dalam norma baharu dan untuk menyediakan bahan mengajar,” kata beliau.
Kata beliau, guru perlu fokus kepada mendidik pelajar, bukan terbeban dengan tugas dan tanggungjawab lain, termasuk menggunakan sumber mereka sendiri untuk menjalankan kelas dalam talian semasa wabak.
Presiden Kesatuan Guru Sarawak Adam Prakash Abdullah berkata: “Tidak dapat dinafikan kami harus berbelanja lebih untuk mengadakan kelas dalam talian tetapi setakat ini, kami belum terima sebarang aduan.”
Tambah beliau, sebilangan guru di kawasan luar bandar terpaksa membeli peranti terpakai untuk mengadakan kelas sejak sekolah ditutup hampir setahun.
Adam berharap syarikat telekomunikasi dapat memberikan akses internet percuma kepada guru dan pelajar, terutamanya yang berada di kawasan pedalaman, di mana mereka bergantung kepada data internet mudah alih.
“Kami juga berharap wakil rakyat dapat membantu guru dan murid seumpamanya atau dengan wang tunai segera kerana sekolah di zon merah ditutup semula,” tambah beliau.