Monday, 26 April 2021

“Beritahu saya sekolah mana periksa murid datang bulan sekarang” - Dr Radzi Jidin

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Radzi Jidin meminta agar orang ramai tampil memberitahu beliau nama sekolah yang mengamalkan pemeriksaan fizikal terhadap pelajar bagi membuktikan mereka datang haid.


“Jika ia berlaku, beritahu saya di sekolah mana, supaya tindakan boleh diambil,” kata beliau.


Radzi berkata, pihaknya juga sedang berusaha mengesan kes seumpama itu di sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), dan setakat ini tiada sebarang maklumat amalan itu wujud.


KPM akan mengambil tindakan susulan sekiranya ada maklumat lengkap, seperti kes-kes lain di sekolah yang tular, kata beliau.


Beliau memberi contoh kes di SMK Dato’ Bentara Luar, Batu Pahat, Johor, yang dikatakan mengasingkan kegiatan kokurikulum berdasarkan bangsa pelajarnya.


Siasatan KPM mendapati kes itu benar berlaku, dan beliau sendiri telah mengeluarkan kenyataan mengenainya, kata beliau.


“…tapi bagi isu itu (pemeriksaan haid), kami sedang periksa sehingga sekarang, kami ‘check’ satu-satu, semua bahagian kami tanya dan jawapannya, tiada,” kata beliau, seperti dipetik Bernama.


Terdahulu, media melaporkan pelajar di beberapa buah sekolah yang tidak dinamakan mendakwa amalan memeriksa pelajar perempuan secara fizikal untuk membuktikan mereka datang bulan dikatakan berlaku sejak 20 tahun lalu.


Sementara itu, Radzi turut mengulas mengenai penyebaran video TikTok seorang pelajar sekolah menengah di Selangor yang mendakwa seorang guru mata pelajaran pendidikan jasmani bergurau secara keterlaluan dengan merujuk kepada perbuatan rogol.


“Ia telah jadi kes polis, kita tak nak sentuh banyak,” kata beliau.


“Namun perbuatan itu tak sepatutnya berlaku, semua kita pun tak setuju, lebih-lebih lagi ia melibatkan adab dan integriti anak-anak kita.”


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon