![]() |
Perbincangan ‘Dialog Tiga Penjuru’ di Astro Awani menyaksikan penyertaan ahli politik Syed Saddiq Abdul Rahman dan Afif Bahardin. |
PETALING JAYA: Ahli akademik mencadangkan desentralisasi sistem pendidikan negara bagi memberi kuasa kepada pejabat pendidikan daerah, guru besar dan guru untuk membuat keputusan penting melibatkan sekolah mereka.
Anuar Ahmad, pensyarah fakulti pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, terdapat keperluan untuk membentuk semula sistem dan mengelak dari membuat keputusan secara berpusat di peringkat persekutuan.
Ketika perbincangan dalam program “Dialog Tiga Penjuru” disiarkan Astro Awani, beliau berkata ada ramai guru yang pakar dalam bidang pendidikan.
“Anda akan mendapati bahawa banyak guru memiliki PhD dalam pendidikan, tetapi mereka tidak diberi kuasa untuk membuat keputusan.
“Sekiranya anda berbincang dengan mereka, mereka mempunyai banyak pandangan tentang cara terbaik menguruskan masalah pendidikan di kawasan setempat,” katanya, sambil menambah kawasan yang berbeza mempunyai keperluan pendidikan yang berbeza.
Dua ahli panel lain adalah bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman dan ADUN Seberang Jaya, Afif Bahardin.
Kedua-duanya bersetuju dengan penilaian Anuar bahawa sistem pendidikan kebangsaan mesti mengelak satu dasar untuk semua.
Syed Saddiq berkata, guru dan guru besar perlu diberi kepercayaan untuk membuat keputusan penting untuk sekolah mereka.
Namun, katanya, kini, guru sendiri tidak diberi pampasan yang sewajarnya atas kerja tambahan yang mereka lakukan.
“Selain mengajar mata pelajaran mereka, mereka juga perlu bertindak sebagai pengawal keselamatan anak-anak, menguruskan kegiatan kokurikulum, menjadi kerani (untuk memasukkan data) dan mereka juga perlu menyesuaikan diri setiap kali ada perubahan dalam sistem,” tambah beliau.
Sementara itu, ADUN Seberang Jaya, Afif Bahardian berkata, autonomi sepatutnya diberikan kepada guru sejak dulu lagi, tetapi harus seiring dengan latihan kepemimpinan dan pengembangan untuk membantu pendidik supaya betul-betul bersedia.