Wednesday, 3 March 2021

Sekolah saran pemantauan, rondaan kerap oleh PDRM

KOTA KINABALU: Pembukaan semula sesi persekolahan melibatkan murid prasekolah, Tahun 1 dan 2 di seluruh Sabah dilihat memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan secara menyeluruh.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Manjinji berkata, ini adalah hasil pemantauan semua Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang turut hadir semasa hari pertama persekolahan.

"Semua PPD bertugas hadir ke sekolah sebagai tanggungjawab bagi melaksankan pemantauan pematuhan arahan SOP COVID-19 yang digariskan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


"Hasil pemantauan mendapati pematuhan SOP adalah di tahap 100 peratus dan PPD sempat menyampai amanat PDRM kepada murid agar mematuhi setiap SOP yang ditetapkan oleh KKM sama ada di dalam mahupun di luar sekolah," katanya.


Tambahnya, semasa pemantauan dijalankan PPS bersama pihak sekolah juga membuat lawatan di dalam kelas bagi memastikan murid lebih peka terhadap SOP semasa sesi pembelajaran berlangsung.


Habibi berkata, bagi pembukaan sekolah kali ini juga kementerian membenarkan pelajar memakai pakaian biasa yang sesuai, kemas serta sopan untuk hadir ke sekolah sekiranya belum mempunya pakaian seragam sekolah.

"Kita melihat pihak sekolah memastikan penjarakan fizikal satu meter dan arahan berjalan di dalam kawasan sekolah adalah diamalkan dan dipatuhi warga sekolah.


"Pemeriksaan suhu badan dan penggunaan cecair pembasmi kuman adalah diwajibkan kepada setiap guru, pelajar dan kakitangan pihak sekolah termasuk pengawal keselamatan.


"Guru, pelajar dan kakitangan sekolah juga masih tidak dibenarkan untuk duduk makan di kantin sekolah," katanya.

Dalam pada itu, Habibi berkata, pihak sekolah turut meminta agar pihak PDRM menjalankan pemantauan serta meronda kawasan sekolah lebih kerap pada waktu puncak.


"Pemantauan berterusan akan dijalankan oleh PPS berkaitan pematuhan terhadap SOP bagi benar-benar memutuskan rantaian COVID-19.


"Ini juga akan dilaksanakan semasa pembukaan persekolahan yang akan diikuti Tahun Tiga sehingga Tahun Enam yang akan bermula 8 Mac depan," katanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon