Friday, 26 March 2021

Kelantan rujuk KPM bendung penularan COVID-19 di sekolah

MACHANG: Kerajaan negeri akan merujuk Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai langkah pengoperasian bagi membendung penularan pandemik COVID-19 di sekolah.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, perbincangan berkenaan dijangka akan diadakan ketika lawatan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin ke Kelantan, Ahad ini.


Katanya, perbincangan itu akan menjurus kepada langkah yang perlu diambil memandangkan sebuah sekolah rendah di Ketereh terpaksa ditutup bermula semalam, disebabkan beberapa murid dan guru disahkan positif COVID-19.


"Dalam pertemuan pada Ahad nanti, saya akan menyampaikan pandangan daripada sudut persekolahan dan pembelajaran kepada KPM bagi meneruskan sesi persekolahan," katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Peruntukan Pertubuhan Belia Kelab Belia Seri Warisan Pusaka Kemunchup di Gelanggang Seni, Kampung Kemunchup, di sini, hari ini.


Terdahulu, Mohamed Fadzli menyampaikan sumbangan peruntukan berjumlah RM10,000 kepada Pengerusi Kelab Belia Seri Warisan Pusaka Kemunchup, Mohd Khairul Azran Kamil bagi pembinaan bilik gerakan untuk pertubuhan berkenaan.


Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata, pada masa sama, pihak pentadbir sekolah, guru serta ibu bapa juga perlu memainkan peranan bagi memastikan murid dan pelajar berada dalam keadaan sihat ketika hadir ke sekolah serta sentiasa patuh nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).


"Dalam situasi sekarang, masyarakat sudah faham dan saya berharap mereka akan mengambil langkah dan bersama-sama mengatasinya agar pandemik COVID-19 segera berakhir," katanya.


Semalam media melaporkan, seramai 11 guru dan seorang murid di sebuah sekolah rendah di Ketereh didapati positif COVID-19 yang berkemungkinan berpunca daripada seorang guru sekolah berkenaan yang menghadiri majlis perkahwinan sebelum ia menjangkiti guru lain serta murid.


Susulan kejadian itu juga sekolah berkenaan diarahkan ditutup bermula semalam dan seramai 24 orang guru lagi kini menjalani kuarantin.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon