Pagi ini saya bersama guru KPM telah menerima suntikan vaksin COVID-19. Proses pengambilan vaksin ini melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dibuat dengan penuh terancang dan teratur. Tahniah kepada KKM dan MOSTI!
Selepas menerima suntikan tadi, ada sahabat wartawan yang bertanya “Apa rasa semasa disuntik?”. Secara spontan saya menjawab, “rasa macam disuntik”. Nak kata sakit, tidaklah rasa sakit. Santai sahaja.
Selepas disuntik, penerima vaksin akan dipantau selama 30 minit di pusat pengambilan vaksin. Alhamdulillah, setakat ini saya tidak merasa sebarang kesan sampingan.
Ada yang bertanya bilakah 55,539 orang guru KPM yang berisiko tinggi mengalami kesan negatif daripada jangkitan COVID-19 akan menerima suntikan vaksin. Untuk makluman, senarai tersebut telah dihantar oleh KPM kepada MOSTI dan KKM. Guru dalam senarai tersebut akan menerima vaksin dalam fasa pertama, iaitu mulai Februari hingga April 2021.
Apa yang penting, kami menyeru agar semua guru dapat mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera agar program imunisasi ini dapat berjalan lancar secara menyeluruh.
Lindung Diri, Lindung Semua.
Dr Radzi Jidin