Saturday, 20 February 2021

Penjadualan semula dimuktamadkan selepas selesai peperiksaan awam


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjadualkan semula peperiksaan awam untuk calon yang tidak dapat mendudukinya disebabkan arahan kuarantin atau menjalani rawatan COVID-19.


Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali, berkata penjadualan semula atau peperiksaan kali kedua untuk calon yang terbabit bagaimanapun hanya dimuktamadkan selepas semua kertas peperiksaan selesai dijalankan.


"Penjadualan semula pasti akan berlaku selepas semua peperiksaan seperti dijadualkan itu tamat.


"Beri tempoh satu atau dua minggu kepada KPM untuk meneliti dan memuktamadkan dan dalam tempoh berkenaan jadual peperiksaan akan disampaikan kepada semua calon yang terbabit," katanya dalam temu bual 'Persediaan Menghadapi Peperiksaan Awam Dalam Norma Baharu 2021' pada program Selamat Pagi Malaysia di TV1, hari ini.


Pada November lalu, KPM meminda tarikh peperiksaan SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 yang akan bermula pada Isnin depan, sementara peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula bermula 8 Mac.


Seramai 400,105 calon mendaftar untuk SPM 2020, manakala bagi SVM, 14,492 calon semester dua dan 8,371 calon di semester empat.


Pkharuddin berkata, calon yang dikuarantin atau positif COVID-19 perlu mengemukakan dua dokumen sebagai bukti mereka tidak hadir peperiksaan.


"Namun jika ada calon sebelum hadir peperiksaan, dia pergi ke klinik kerana mendapati dirinya tidak sihat, calon boleh menduduki peperiksaan jika dia tiba dalam masa 30 minit selepas peperiksaan bermula.


"Calon juga dibenarkan mengikuti kertas berikutnya dan hanya menduduki peperiksaan yang tidak diduduki selepas penjadualan semula dibuat.


Katanya, bagi menduduki semula, calon perlu mengemukakan pengesahan maklumat daripada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) yang menyatakan ketika peperiksaan berlangsung mereka sedang kuarantin atau menjalani rawatan COVID-19 dalam tempoh tertentu hingga tidak dapat menduduki peperiksaan sepatutnya.


"Dokumen kedua pula ialah nota discaj bagi calon yang disahkan positif COVID-19 yang akan menjadi bukti atau pengesahan mereka pulih untuk meneruskan peperiksaan atau mendudukinya pada tarikh baharu yang ditetapkan kelak," katanya.


Katanya, kedua-dua dokumen itu perlu ditunjukkan kepada sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk membenarkan mereka menduduki peperiksaan yang dijadualkan semula.


Beliau berkata, sekiranya ada calon yang sedang menduduki peperiksaan namun ibu bapa dan penjaga memaklumkan pihak sekolah mereka mungkin perlu dikuarantin, jalani ujian calitan atau positif COVID-19, pihaknya menegaskan calon bergejala sudah ditempatkan di bilik peperiksaan khas.


"Justeru jika berlaku situasi calon sedang menduduki peperiksaan, kita sudah bersedia kerana setiap calon dan petugas peperiksaan sudah mengisi borang deklarasi kesihatan dengan berpandukan maklumat diberikan ketika tiba di pintu masuk sekolah dan melihat apa mereka isytiharkan.


"Calon dan petugas akan dipastikan sihat sepenuhnya atau mengalami lima simptom iaitu demam, batuk selsema, sesak nafas, sakit tekak. Sekiranya maklumat itu terpapar, perhatian selanjutnya diberikan sama ada calon itu boleh duduki bersama dalam dewan atau kita asingkan mereka dalam bilik peperiksaan khas.


"Ini bertujuan supaya tidak menimbulkan keresahan atau gejala itu tidak tersebar kepada calon lain. Jadi, memang calon dan petugas peperiksaan wajib mengisi borang setiap hari," katanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon