KUALA LUMPUR: Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akan menyumbang 50 buah tablet Samsung Tab A8 bagi disalurkan kepada pelajar yang kurang berkemampuan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim dalam satu hantaran menerusi akaun Facebook miliknya, hari ini, berkata Chong Wei menyatakan hasrat itu menerusi perbualan telefon antara mereka, semalam selepas mengetahui mengenai program 'Asal Cek Mau Pi Sekolah' yang diusahakannya.
"Berita baik daripada wira kesayangan kita. Chong Wei akan taja 50 buah tablet Samsung Tab A8 untuk program Asal Cek Mau Pi Sekolah.
"Terima kasih yang amat sangat. Ada memang wira di dalam dan di luar gelanggang," kata Steven yang juga bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
Chong Wei yang juga pemenang pingat perak tiga kali Sukan Olimpik membesar di Bukit Mertajam.