LEMBAGA Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) wajar mempertimbangkan untuk menurunkan graf markah bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) tahun 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Khas Pendidikan Parlimen Malaysia, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, banyak pihak menghubungi beliau kerana rasa gelisah apabila KPM akan menghentikan sesi pembelajaran secara bersemuka bagi calon SPM/SPMV bermula 9 Februari ini.
“Persoalan mereka timbulkan, adakah cukup persediaan pelajar setelah begitu lama tidak menghadapi pembelajaran secara bersemuka apabila calon hanya mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka di sekolah selama 14 hari dan selepas itu diberi cuti 14 hari pula?
“Apakah motif KPM membenarkan calon tersebut ‘bercuti’ selama 14 hari sebelum berlangsungnya peperiksaan SPM, SPMV atas alasan bersedia kendiri?
“Apakah kaedah yang akan digunakan oleh guru dalam tempoh 14 hari sebelum peperiksaan ini untuk membantu pelajar?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Oleh itu katanya, LPM dan KPM wajar mempertimbangkan untuk menurunkan graf markah bagi kedua-dua peperiksaan awam itu, memandangkan sesi PdP mereka terganggu tahun lalu.
“Saya harap ibu bapa tabah mengharungi situasi ini. Untuk calon pula, saya nasihatkan agar tidak berputus asa walau apa juga kesusahan yang terpaksa dihadapi.
“Bagi pendidik, saya mendoakan pengorbanan kalian ini akan mendapat balasan yang baik dari Allah,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon SPM/SOMV tahun 2020 akan berakhir 9 Februari ini.
Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim menerusi pekeliling bertarikh 4 Februari yang ditujukan kepada semua Ketua Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri di bawah KPM.-Malaysiapost