Wednesday, 24 February 2021

Istilah ‘MURID’ dan ‘PELAJAR’, yang mana satu betul penggunaannya?

Istilah ini selalu menjadi perbincangan sebilangan kita yang sering mendalami gaya bahasa seharian.


Jom kita lihat beberapa pendapat dan fakta supaya penggunaannya tidak lagi menjadi kekeliruan.


Sudut bahasa


Cikgu Tan CL melalu laman blognya menulis sedikit perbincangan mengenai topik ini. Beliau membuat perbandingan mudah penggunaan dua perkataan ini.


Contoh mudah yang diberikan adalah seperti berikut:

  • Saya ada anak murid
  • Saya ada anak pelajar


Jika anda guru, anda ada anak murid, maka muridlah mereka. 


“Anak pelajar” pula merujuk anak yang dipunyai oleh pelajar seseorang guru. 


Lihat ayat di bawah: 

  • Banyak pelajar saya sudah berkahwin. Ada juga anak pelajar saya yang sudah belajar di prasekolah. 


Di sekolah rendah dan di sekolah menengah ada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Maka, sesuailah digelar murid. Di institusi pengajian tinggi pula ada Pejabat Hal Ehwal Pelajar. Maka, sesuailah digelar pelajar universiti, bukan murid universiti. 


Sudut teknikal perundangan


Dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) muka surat 4 mentafsirkan maksud 'murid' sebagai seseorang tanpa mengira umurnya yang kepadanya pendidikan atau latihan sedang diberikan di sesuatu institusi pendidikan.

Akta Pendidikan tidak membuat apa-apa pentafsiran berkenaan penggunaan perkataan pelajar bagi tujuan ini.


Begitu juga dengan prosedur, arahan, peraturan dan surat menyurat yang dikeluarkan oleh semua insititusi di bawah kementerian pendidikan menggunakan perkataan murid sebagai perkataan rasmi yang mewakili seseorang yang menerima pendidikan.


Kesimpulan?


Penggunaan murid lebih sesuai penggunaannya dengan urusan yang berkaitan rasmi seperti laporan, pengumuman, makluman dan perkara-perkara lain yang bersangkutan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.


Adakah penggunaan 'PELAJAR' itu salah? Kenapa akhbar-akhbar kerap menulis laporan-laporan berkaitan pendidikan menggunakan istilah 'PELAJAR'?


Seperti mana yang dibincangkan oleh Cikgu Tan, dalam penulisan, walaupun konsep asasnya sama, gunakanlah mengikut kesesuaian situasi dan lokasi.


Rujukan: 



We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon