Saturday, 20 February 2021

DidikTV KPM: 'Seperti belajar dalam kelas'

Murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Sungai Mas
mengikuti pembelajaran di saluran DidikTV KPM
di rumah Tok Empat Kampung Sungai Mas,
Sungai Lembing. - NSTP/Mustaffa Kamal

KUALA LUMPUR: Rangkaian DidikTV KPM di saluran ntv7 terus dimanfaatkan oleh segenap lapisan murid dan warga pendidik, selaras matlamatnya untuk memperkasakan budaya ilmu dalam suasana norma baharu susulan penularan pandemik COVID-19.


Di Kuantan, empat pelajar Orang Asli di Kampung Sungai Mas, Sungai Lembing, mengakui selesa mengikuti pembelajaran menerusi televisyen berbanding penggunaan telefon pintar.


Zarol Sudin, 12; Joreza Johan, 11; Ikwan Mat Arip, 10, dan Rabiatul Aduwaiyah Gagat, 7, berasa bagaikan berada di dalam kelas dengan guru mengajar secara bersemuka setiap kali menonton mata pelajaran berkaitan menerusi DidikTV KPM.


Zarol yang juga murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Mas, sesi pembelajaran dengan menonton DidikTV KPM banyak membantu, walaupun ia pengalaman baharu.


"Saya menonton bersama rakan, jadi ada sikit rasa macam dalam kelas dan kita tumpukan perhatian kepada guru yang mengajar.


"Sebelum ini, kami ikuti pelajaran dalam telefon, tetapi apabila skrin kecil, mata cepat penat dan kadang-kadang tak boleh fokus," katanya.


Di Georgetown, pembelajaran DidikTV KPM menerusi paparan skrin televisyen lebih besar memberi keselesaan pada mata buat murid berbanding peranti atau telefon bimbit.


Kakitangan awam, Faridah Abd Razak, 42, berkata langkah proaktif Kementerian Pendidikan (KPM) memanfaatkan rangkaian ntv7 sebagai saluran yang menyokong Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), memudahkan aturan dua anaknya.


Berkongsi keluhan masalah ketidakcukupan peranti dan gangguan capaian internet, beliau berkata, jadual siaran subjek memudahkan ibu bapa menyusun atur tontonan bersesuaian anak dan diselaraskan dengan kelas dalam talian.


"Saya suka DidikTV KPM kerana jadualnya disusun mengikut penggiliran mengikut tahap, mata pelajaran dan waktu ditetapkan.


"Murid daripada keluarga golongan kurang berkemampuan memang berterima kasih dengan adanya DidikTV KPM kerana bukan semua mampu mempunyai peranti," katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Muhammad Farhan dan Nur Aisya Farhana
mengulangkaji pelajaran menerusi DidikTV KPM
sambil dibantu Faridah (kiri) di Jelutong, Georgetown.
- NSTP/Zuhainy Zulkiffli

Anak sulungnya, Muhammad Farhan Mohd Asril, 12, mendapati sesi pembelajaran dan ulang kaji menerusi DidikTV KPM lebih santai serta mudah difahami.


"Walaupun belajar di rumah, tapi saya macam berada dalam kelas sebab ada guru. Agaknya sebab sudah lama tak belajar dengan guru di kelas secara bersemuka," katanya.


DidikTV KPM yang bersiaran seawal jam 7 pagi sehingga 12 tengah malam, memaparkan pelbagai kandungan merangkumi subjek teras seperti Bahasa Melayu, Sains, Sejarah, Bahasa Inggeris dan program bermanfaat seperti motivasi dan senaman ringan bagi pelajar mempersiapkan diri sebelum memulakan PdPR.


Di Kuala Terengganu, guru Sekolah Kebangsaan Seri Budiman 2, Kuala Terengganu, Nurdiyana Shafie, 35, berkata pembelajaran menerusi DidikTV KPM berhubung kait dengan tugasan guru secara PdPR kerana apa yang tidak difahami boleh dirujuk dalam tempoh singkat.


"Dengan adanya DidikTV KPM, saya melihat kaedah PdPR boleh menjadi lebih lancar kerana murid mempunyai pelbagai sumber rujukan," katanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon