16 Feb - CUEPACS hari ini melalui satu sidang media menyokong kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkenaan permohonan penangguhan Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR) versi 2.0.
"Hal ini kerana, pelbagai masalah yang dihadapi dalam PdPR 1.0 dan perlu diperbaiki secara menyeluruh untuk penambahbaikan terlebih dahulu sebelum PdPR 2.0 dilaksanakan di seluruh negeri," katanya.
CUEPACS turut menzahirkan keyakinan terhadap kajian yang telah dlakukan oleh NUTP dan percaya kesatuan mempunyai alasan yang kukuh untuk memohon penangguhan PdPR 2.0.
"PdPR 2.0 sangat wajar ditangguhkan disebabkan pelbagai faktor kekurangan termasuklah kemudahan-kemudahan pembelajaran seperti capaian internet, gajet untuk belajar serta keadaan ruang belajar yang selesa seperti di sekolah," katanya lagi.
CUEPACS memberi contoh bagaimana masalah ini menjadi lebih serius di kawasan pedalaman yang tiada liputan internet. Menurutnya lagi, guru-guru terpaksa mencari alternatif seperti meredah sungai, hutan untuk memberi tugasan kepada anak-anak murid secara bersemuka.
"Keadaan ekonomi sekarang juga membuktikan penjawat awam yang mempunyai anak yang ramai tidak mampu menyediakan gajet kepada anak mereka. Harga gajet juga kini melambung tinggi menyebabkan keadaan ekonomi keluarga bertambah teruk," katanya.
Menurut CUEPACS lagi, kemudahan jalur lebar dan peranti menjadikan proses PdPR ini akan menjadi lebih lancar.