KUCHING: Dua kluster baharu COVID-19 dikesan di Sarawak hari ini dengan satu daripadanya membabitkan pelajar sekolah di Meradong, Sarikei.
Kluster Sungai Bakong membabitkan pelajar yang mendiami asrama Murni di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong yang terletak berhampiran dengan Sungai Bakong di Meradong.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, berkata indeks kes kepada kluster itu adalah kes ke-7,435 Sarawak yang dikesan melalui saringan bergejala pada 15 Februari lalu.
Saringan itu dilakukan selepas indeks kes mula menunjukkan tanda dan gejala pada 12 Februari.
"Hasil saringan pengesanan secara aktif di asrama sekolah itu mendapati, terdapat penambahan 21 kes positif dikesan.
"Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 593 individu disaring di mana dengan 22 dikesan positif COVID-19 termasuk indeks kes," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, 37 kes diuji negatif manakala 534 lagi masih menunggu keputusan makmal.
"Kesemua 22 kes yang disahkan positif dimasukkan ke Hospital Sarikei dan di Pusat Kuarantin dan Risiko Rendah (PKRC) Sarikei bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut.
"Semua guru, kakitangan dan pelajar asrama di SMK Meradong yang terdedah juga sudah diarahkan untuk menjalani kuarantin dan kawalan pergerakan yang terhad di dalam sekolah sahaja," katanya.
Satu lagi kluster baharu dikesan di Padawan, Kuching iaitu Kluster Emperoh Jambu yang merebak menerusi indeks kes menerusi seorang lelaki berumur 45 tahun yang dikesan melalui saringan sebelum bertugas pada 16 Februari lalu.
"Kes indeks itu dipercayai menjangkiti ahli keluarganya yang kemudian berkemungkinan merebak kepada kontak lain ketika upacara pengebumian ahli keluarga isteri kes indeks pada 3 hingga 5 Februari lalu.
"Hasil saringan dan pengesanan kontak rapat kepada indeks kes itu dan ahli keluarganya, tambahan 59 kes telah dikesan," katanya.
Sementara itu, sebanyak 221 kes baharu COVID-19 dikesan dan dilaporkan di Sarawak hari ini iaitu iaitu 67 di Kuching, Sibu (63), Bintulu (28), Meradong (24), Kapit (15),Samarahan (11), Miri (5), Bau (3), Subis (2), Beluru (1), Betong (1) dan Kanowit (1).