![]() |
Ismail menunjukkan paparan dalam laman sosial Facebook Tuan Ibrahim yang mengucapkan penghargaan atas usaha sukarela beliau membersihkan Sungai Balun. - NSTP/ROSMAN SHAMSUDIN |
SLIM RIVER: Guru Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Besout 1, di sini, Ismail Mohd Zin, 40, terkejut dan teruja apabila menerima Warkah Penghargaan daripada Sultan Perak atas usaha sukarela beliau membersihkan Sungai Balun.
Ismail berkata, beliau menjunjung kasih atas pemberian warkah oleh Sultan Nazrin Muizzuddin Shah itu.
Katanya, beliau berdebar-debar apabila dihubungi pihak Istana Iskandariah Kuala Kangsar, semalam, namun lega selepas dimaklumkan ia atas tujuan pemberian warkah itu.
"Saya memang tidak menyangka usaha kecil saya membersihkan sungai itu akan mendapat perhatian pihak istana serta Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sehingga tidak dapat tidur kerana memikirkannya.
"Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai masyarakat prihatin terhadap alam sekitar, terutama sungai yang merupakan sebahagian daripada kehidupan kita," katanya ketika ditemui dekat Taman Slim Permata.
Ismail berkata, beliau berharap kerja sukarela itu tidak disalah anggap pihak tertentu, kerana dirinya ikhlas membantu usaha memulihara kelestarian sungai.
"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi motivasi untuk saya meneruskan kerja sukarela, terutama membabitkan alam sekitar.
"Inilah kenangan terindah dalam hidup saya dan tidak akan dilupakan. Saya juga berharap kerja sukarela ini akan menjadi contoh kepada pelajar," katanya.