Wednesday, 24 February 2021

55,000 guru akan terima vaksin sebelum sekolah dibuka - KJ

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan memastikan kira-kira 55,000 guru menerima suntikan vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka 1 Mac ini.


Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata Kementerian Pendidikan (KPM) sudah menyerahkan senarai guru berkenaan kepada JKJAV.


"Kita sudah terima (senarai guru) dan sedang diusahakan. Esok kita akan bincang supaya mereka dapat diberi suntikan sebelum sesi pembukaan sekolah.


"Jumlah 55,000 guru ini berada di seluruh negara, kita sedang teliti bagaimana ia boleh dilaksanakan secepat mungkin," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang disempurnakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin, di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya di Presint 11, hari ini.


KPM mengumumkan sekolah rendah, kolej vokasional dan sekolah antarabangsa serta institusi pendidikan swasta (IPS) kategori pusat yang tidak menawarkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan peperiksaan umum masing-masing akan dibuka pada 1 dan 8 Mac ini.


Kumpulan yang mula bersekolah pada 1 Mac ini ialah murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah rendah seluruh negara manakala Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam bermula pada 8 Mac.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon