KUALA LUMPUR: Televisyen pendidikan (TV Pendidikan) perlu menerapkan konsep pembelajaran secara dua hala dan menggunakan modul standard kurikulum pentaksiran (SKP).
Dekan Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Rahim Razalli, berkata guru yang ditampilkan dalam siaran TV Pendidikan tidak boleh menjadi seperti 'robot'.
Sebaliknya, beliau berkata guru harus menganggap seolah-olah berdepan dengan murid seperti suasana di sekolah yang mempunyai pelbagai aras penguasaan subjek.
"TV Pendidikan memang lagi bagus daripada kaedah pembelajaran secara dalam talian kerana tidak berdepan isu peranti, internet dan kewangan.
"Tetapi, janganlah guru menjadi seperti 'robot' dan biarkan proses pembelajaran berlangsung secara satu hala.
"Bukan maksud saya ada interaksi langsung antara pelajar dan guru menerusi TV Pendidikan kerana itu mustahil, sebaliknya dua hala dimaksudkan ini seolah-olah ia berlangsung dalam suasana sekolah.
"Contohnya, selaraskan sukatan pembelajaran dan mengikut SKP, selain menggunakan buku teks yang dibekalkan di sekolah," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim, semalam bercadang meningkatkan kerjasama dengan beberapa lagi stesen televisyen bagi menambah tempoh masa rancangan TV Pendidikan.
Langkah itu dilaksanakan berikutan lebih 90 peratus kediaman di seluruh negara memiliki televisyen, sekali gus mampu menjadikan capaian rancangan TV Pendidikan lebih meluas.
Rahim berkata, TV Pendidikan berkonsep pembelajaran satu hala akan menyebabkan pelajar cepat bosan dan akhirnya 'menyimpang' kepada aktiviti lain di rumah.
"Perlu kita ingat ibu bapa sibuk dengan kerja masing-masing di rumah, jadi masa untuk jadi 'guru kedua' bagi memantau proses pembelajaran anak amat sukar.
"Bagaimanapun, menerusi TV Pendidikan berkonsep pembelajaran dua hala, komitmen ibu bapa akan berkurang kerana hanya sekadar perlu menjadi 'guru disiplin' yang memantau dari jauh.
"Ini kerana pelajar mudah mengikut sukatan pembelajaran berpandukan buku teks sekolah dan ia berlangsung seperti di sekolah.
"Jika harapkan TV Pendidikan yang menerapkan pembelajaran stanpa mengikut SKPh dan buku teks, seolah-olah cikgu 'membebel' bersendirian, manakala pelajar sibuk dengan aktiviti lain di rumah," katanya.