Menerusi sistem semester, mereka akan mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran seperti di IPT dengan menduduki peperiksaan pada setiap semester.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim, berkata cadangan itu bagaimanapun memerlukan perancangan teliti dan menyeluruh dan pihak kementerian pula perlu merangka kaedah yang sesuai supaya ia boleh dilaksanakan.
Beliau berkata, KPM juga perlu bekerjasama dengan agensi luar bagi memastikan aspek pengiktirafan boleh dicapai bagi apa-apa bentuk cadangan yang dikemukakan.
"Ketika membuat pertimbangan, ia tak semestinya dalam bentuk semester (penggal) kerana kita masih mempertimbangkan alternatif jika berlaku situasi seperti ini (COVID-19).
"Kita ada pendekatan berbeza bagi membolehkan calon menghadapi sesuatu pentaksiran atau peperiksaan. Ketika ini ia masih di peringkat 'ground work' dan belum boleh diumumkan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, cadangan bagi sistem penggal itu tidak boleh dilaksanakan bagi calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang dianjakkan ke 2021.
"Ini kerana peperiksaan seperti SPM diiktiraf oleh Cambridge, setara dengan O Level. Jika kita membuat sebarang perubahan kepadanya, kita akan hilang pengiktirafan berkenaan.
"KPM tidak mahu calon bagi kelas peperiksaan tidak memperoleh pengiktirafan bagi sijil mereka. Mungkin peluang untuk meneruskan pengajian atau memasuki bidang kerjaya terjejas sebab pengiktirafan ini.
"Begitu juga di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), ia juga diiktiraf setara A Level. Maka kita tidak boleh buat perubahan pada peperiksaan berkenaan dalam terdekat ini," katanya.