Sunday, 24 January 2021

Peperiksaan CEFR tidak perlu ditangguhkan - NUTP


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan diminta tidak menangguhkan peperiksaan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) yang dijadualkan bermula Selasa ini.


Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, menegaskan peperiksaan itu hanya diduduki dalam kalangan guru dengan opsyen Bahasa Inggeris, sekali gus tidak menimbulkan masalah biarpun tarikh peperiksaannya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Katanya, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim semalam sudah menetapkan calon peperiksaan utama dijangkiti COVID-19, yang dikuarantin atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit lain, tidak dibenarkan menduduki peperiksaan dalam tempoh kuarantin atau sepanjang disahkan positif COVID-19.


"Dalam hal ini, prosedur operasi standard (SOP) dan rangka tindakan itu juga boleh diguna pakai dalam menguruskan CEFR yang bermula 26 Januari ini.


"Ini sekali gus bermakna pada ketika ini, peperiksaan CEFR itu boleh dilaksanakan dengan pematuhan SOP yang ketat," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kewajaran guru opsyen Bahasa Inggeris yang diwajibkan menduduki peperiksaan CEFR yang akan diadakan di seluruh negara, bermula Selasa ini.


Jadual peperiksaan yang berada dalam tempoh PKP itu menimbulkan tanda tanya sama ada wujud keperluan menangguhkannya sehingga pandemik COVID-19 reda.


Ini berikutan ada juga pihak menggesa kementerian yang sepatutnya prihatin dengan keadaan kesihatan guru yang diarahkan menduduki peperiksaan terbabit.


Ini kerana ada dalam kalangan guru menghidap penyakit berisiko tinggi dan dikhuatiri menjadi lebih teruk jika dijangkiti COVID-19.


Aminuddin berkata, CEFR adalah peperiksaan yang membabitkan guru opsyen Bahasa Inggeris.


Katanya, dengan SOP ketat yang sudah dirangka Majlis Peperiksaan Malaysia dan kepakaran pegawai di sektor Pentaksiran dan Peperiksaan di Jabatan Pendidikan Negeri dan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam menguruskan peperiksaan CEFR berkenaan pihaknya yakin tiada masalah akan timbul.


"Memandangkan calonnya terdiri daripada guru yang sudah tahu dan menguasai aspek menjaga kesihatan dan keselamatan zaman COVID-19, tiada masalah untuk diteruskan.


"Jika kita lihat kepada peperiksaan utama lain, yang membabitkan golongan pelajar sahaja, ia mampu diteruskan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan calon lain, jadi tiada sebab untuk KPM menangguhkan CEFR yang calonnya adalah guru," katanya.


We Share because We Care

1 comment:

  1. 1st: cefr exam is included speaking part, can we speak well with mask on and examiner listen clearly? Is it fair? Can it compared to the other public exam that only focus on writing on paper? It is nonsense to said why the other exam can be carried out, but why not cefr.

    2nd: why the private institutes may have exam via online, with our new technology, but cefr couldnt do it?keep delaying and now ask us to attend at the most critical pandamic?

    ReplyDelete


EmoticonEmoticon