Jumlah murid Tahun Satu bagi kemasukan 2021 di seluruh negara adalah seramai 429,275.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim, berkata tempoh murid berkenaan berada di alam prasekolah secara bersemuka tahun lalu, terlalu singkat dan mungkin menjejaskan penguasaan 3M.
"Penguasaan 3M bagi golongan ini tentunya menjadi kebimbangan kita. Prasekolah (tahun lalu) tempoh (bersemuka) di sekolah pendek, mungkin terdapat perbezaan dari segi komunikasi dan bagaimana pembelajaran itu di rumah.
"Kita mencadangkan proses transisi sebelum murid menginjak ke Tahun Satu, iaitu selama selama 43 hari, bermula ketika sesi persekolahan pada 20 Januari lalu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, guru mempunyai program tersendiri, selain peringkat permulaan persekolahan Tahun Satu dimulakan dengan sesi suai kenal sebelum proses transisi.
"Selepas guru melakukan program yang sudah dirancang, guru berkenaan boleh melaksanakan program transisi ini. Dari segi berapa ramai murid, kita berharap semua murid daripada pra-sekolah ke Tahun Satu melalui program transisi ini," katanya.