Friday, 29 January 2021

NUTP sokong guru adakan kelas waktu malam secara sukarela

Imej via Berita Harian

KUALA LUMPUR: Penyelarasan menyeluruh berhubung kesesuaian waktu pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) perlu diteliti, termasuk kewajaran kelas dalam talian diadakan pada sebelah malam.


Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Amiruddin Awang, berkata pihaknya menyokong jika ada guru mengambil inisiatif mengadakan kelas PdPR secara sukarela pada waktu malam tanpa paksaan.


"Perlu ada penyelarasan menyeluruh mengenai kelas yang perlu diadakan pada waktu siang dan kelas apa pula wajar dibuat pada sebelah malam.


"Banyak aspek perlu diambil kira, antaranya kesediaan guru sendiri, soal kebajikan guru kerana mereka juga ada tanggungjawab lain berkaitan keluarga yang perlu diuruskan di luar waktu kerja," katanya kepada BH di sini, hari ini.


Amiruddin berkata, pelaksanaan sesi PdPR pada waktu malam boleh memberi impak lebih baik dan berkesan, malah boleh meningkatkan penyertaan murid.


Justeru, katanya, terpulang kepada pihak guru dengan persetujuan sekolah dalam menentukan waktu sesuai untuk mengadakan kelas PdPR.


"Bagaimanapun, ia tidak akan mengatasi masalah perkongsian peranti jika ramai guru membuat kelas PdPR pada waktu malam.


"Secara logiknya, tiga beradik yang ada kelas secara dalam talian pada waktu malam tidak boleh menggunakan satu peranti serentak," katanya.


Beliau menambah, pelaksanaan PdPR pada waktu malam hanya menyelesaikan isu murid menggunakan telefon ibu bapa yang bekerja, bagi mengikuti kelas secara dalam talian.


Bermula 20 Januari lalu, kaedah PdPR dijalankan di seluruh negara membabitkan semua murid sekolah rendah dan Tingkatan Satu hingga Empat.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon