KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan perlu mempertimbang semula tarikh pembukaan sekolah yang dijadual bermula 20 Januari ini, susulan peningkatan kes baharu COVID-19 sejak beberapa hari lalu.
Naib Presiden MIC, Datuk C Sivaraajh, berkata jika sesi persekolahan tetap dibuka pada tarikh berkenaan, kementerian itu perlu menyediakan pelan mitigasi dan langkah kawalan yang boleh memberi keyakinan kepada ibu bapa dan penjaga.
“Ini perkembangan yang membimbangkan. Pelajar dan ibu bapa, malah guru di sekolah sangat prihatin. Jika ada kesilapan kecil dalam prosesnya, kita mungkin akan ada ratusan kluster di sekolah di seluruh negara.
“Melihat trend jangkitan semasa, walaupun sekolah dibuka semula seperti diumumkan, ibu bapa akan sangat ragu-ragu untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah, sekaligus mengakibatkan beberapa pelajar ketinggalan dengan kemajuan akademik dan lain-lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari ini, ada 2,643 kes baharu COVID-19 menjadikan 25,140 kes aktif dengan kebolehjangkitan. Semalam ialah rekod tertinggi, iaitu 3,027 kes baharu dengan unjuran 8,000 kes sehari pada minggu ketiga Mac depan, sekiranya nilai kebolehjangkitan (RO) melepasi kadar 1.2. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata RO diturunkan kepada nilai atau kurang daripada 0.5 untuk mengawal jangkitan sepenuhnya.
Mengulas lanjut, Sivaraajh berkata, ibu bapa perlu diberi penjelasan mengenai persediaan membuka kembali sekolah. Jika langkah sewajarnya tidak diambil, katanya, murid, keluarga guru dan kakitangan sokongan di sekolah boleh terdedah kepada risiko penularan jangkitan.
“Apakah rancangan mitigasi Kementerian Pendidikan, sekiranya ada masalah? Saya percaya pihak berkepentingan, terutama pelajar dan ibu bapa dan guru mesti berunding serta diberi penjelasan yang cukup mengenai kelancaran pembukaan sekolah nanti, jika ada masalah timbul kelak," katanya. Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, sebelum ini memaklumkan hari pertama persekolahan bermula 20 Januari ini.