KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mencadangkan jadual waktu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian dipraktikkan secara anjal mengikut tahap murid.
Beliau berkata, saranan itu bagi mengatasi masalah ibu bapa yang memiliki anak ramai tetapi kekurangan peranti elektronik.
"Dengan cara jadual waktu anjal itu, anak-anak boleh menggunakan peranti elektronik bukan secara serentak.
"Guru juga perlu menyediakan modul standard kaedah pengajaran dalam talian, selain pembelajaran dalam talian yang bukan 'real time' seperti menggunakan Google Classroom dan aplikasi Telegram," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mahdzir berkata, aspek 'kemenjadian murid' menjadi satu elemen penting dalam apa kaedah PdP sama ada secara bersemuka di sekolah atau dalam talian.
Beliau berkata, sektor pendidikan mempunyai pemegang taruh yang amat besar membabitkan jumlah sekolah, guru, murid dan ibu bapa yang mempunyai kepentingan di dalamnya.
"Bagi ibu bapa pula, pendidikan anak-anak menjadi pelaburan untuk masa depan. Mereka juga tidak boleh bersikap lepas tangan di rumah, sebaliknya perlu turut sama memikul tanggungjawab menjadi 'pembantu guru' untuk pembelajaran anak," katanya.
Sementara itu, Mahdzir berkata, ketiadaan peranti dan jaringan internet sempurna di kawasan luar bandar antara cabaran utama bagi menjalankan kaedah PdP dalam talian.
Beliau berkata, penyelesaian masalah capaian internet di luar bandar seharusnya diambil secara tanggungjawab bersama oleh pihak kerajaan dan syarikat pengendali telekomunikasi yang boleh dicapai secara menang-menang.
"Kita jangan malu untuk melihat bagaimana negara lain seperti Indonesia, Nepal dan Vietnam melebarkan jalur rangkaian internet mereka hingga ke kawasan pedalaman," katanya.– BERNAMA