1. Proses Pengambilan Guru Baharu
- Urusan penyelarasan pengambilan guru baharu bermula di peringkat pengumpulan data graduan yang diperoleh daripada Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Universiti Awam (UA).
- Penyelarasan pengambilan dan penempatan graduan pendidikan ini dilaksanakan berdasarkan kekosongan perjawatan serta keperluan opsyen. Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mendapatkan maklumat keperluan opsyen daripada Sektor Operasi Pendidikan (SOP), KPM berdasarkan jumlah kekosongan jawatan semasa bagi merancang jumlah bekalan graduan yang diperlukan untuk ditempatkan ke sekolah-sekolah di bawah pentadbiran KPM.
- Seterusnya, jumlah bekalan yang diperlukan akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) bagi tujuan temu duga. di mana calon perlu memohon terlebih dahulu melalui portal www.jobsmalaysia.com untuk panggilan temu duga SPP.
- Calon yang berjaya dalam temu duga akan mengemas kini maklumat melalui sistem e-Graduan dan SOP yang terlibat akan menguruskan penempatan mereka.
2. Kriteria yang diambil kira dalam melaksanakan urusan unjuran pengambilan guru Penyelarasan pengambilan dan penempatan graduan pendidikan dilaksanakan berdasarkan kekosongan jawatan dan keperluan opsyen.
- Kekosongan jawatan ini merangkumi guru-guru yang bersara wajib, bersara pilihan, berlakunya peletakan jawatan dan kematian serta pembukaan institusi (sekolah) baharu.
- Keperluan opsyen pula berdasarkan kekosongan opsyen guru di sesebuah sekolah/institusi, jumlah pembukaan institusi baharu serta perubahan dasar semasa Kerajaan.
- Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP) akan membuat perancangan unjuran pengambilan guru baharu dengan mengambil kira kriteria-kriteria tersebut melalui kerjasama dan maklumat yang diperolehi daripada pelbagai Bahagian peringkat kementerian dan agensi pusat sebelum diselaraskan dengan IPGM dan juga UA.
3. Dasar semasa Kerajaan dalam urusan pengambilan guru baharu memandangkan terdapat banyak Institusi Pengajian Tinggi yang menawarkan Ijazah dalam bidang pendidikan
- Dasar semasa Kementerian dalam urusan pengambilan guru baharu adalah dengan memberi keutamaan kepada graduan IPGM dan UA keluaran semasa khususnya yang diberi tajaan oleh KPM untuk ditemu duga lantikan tetap oleh SPP berdasarkan kekosongan jawatan yang terhad dan keperluan opsyen di sekolah-sekolah di bawah pentadbiran Kementerian KPM.
4. Penempatan
- Proses penempatan guru baharu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat berdasarkan kekosongan jawatan dan keperluan opsyen semasa tertakluk kepada keputusan rasmi temu duga yang diterima daripada SPP.
5. Prosedur graduan yang tidak dilantik untuk berkhidmat dengan KPM
- Bagi graduan Pendidikan yang tidak dilantik berkhidmat dengan KPM atas pelbagai sebab seperti gagal temu duga SPP, tidak hadir temu duga, hadir tetapi tidak ditemu duga kerana tidak membawa dokumen yang lengkap, menolak tawaran pelantikan dan penempatan atau sebagainya, mereka perlu memohon semula ke SPP melalui portal www.jobsmalaysia.gov.my.
- Bagi graduan yang gagal temu duga, mereka boleh memohon semula selepas enam (6) bulan dari tarikh keputusan temu duga dikeluarkan melalui portal SPP. Tempoh enam (6) diberikan oleh SPP untuk memohon semula bertujuan memberi peluang kepada calon untuk memperbaiki kelemahan diri.
- Walau bagaimanapun, berdasarkan surat SPP rujukan SPP.30/22/4(19) bertarikh 27 Mac 2015, graduan yang menolak tawaran akan disenarai hitam selama satu (1) tahun sebelum layak memohon semula ke jawatan PPP Gred DG41.
- Dalam hal ini, panggilan temu duga adalah tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen semasa KPM. Selain itu, setiap calon perlu bersaing dengan graduan semasa dan hanya graduan yang terbaik sahaja akan dipilih oleh SPP berdasarkan merit, keperluan opsyen dan prestasi temu duga.
Sumber: www.moe.gov.my