KOTA KINABALU: Seramai 58 murid tingkatan lima dan enam di Sabah yang disaring sebelum kembali ke asrama, didapati positif COVID-19 sehingga semalam.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata jumlah paling ramai dikesan ialah di Sandakan dengan 10 murid, diikuti Lahad Datu dan Semporna, masing-masing tujuh pelajar.
"Enam pelajar dikesan positif COVID-19 di Tawau, masing-masing empat kes di Kalabakan, Kota Marudu dan Kudat, tiga kes di Kinabatangan dan Ranau serta dua kes di Telupid dan Tongod.
"Daerah Beaufort, Keningau, Kota Belud, Kunak, Papar dan Pitas pula masing-masing merekodkan satu kes positif ke asrama," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19, malam ini.
Sementara itu, mengenai kes COVID-19 membabitkan guru dan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tulid, Keningau, Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah, berkata hanya seorang guru dan pelajar didapati positif setakat hari ini.
"Kedua-dua mereka sedang menerima rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Keningau.
"Susulan itu, seramai 64 orang dikenal pasti sebagai kontak rapat dan mereka semua dikuarantin di Institut Pendidikan Guru (IPG) Keningau.
"Hasil siasatan awal menunjukkan kebarangkalian jangkitan adalah daripada komuniti dan bukan jangkitan di sekolah," katanya.
Beliau berkata, sejurus mengesan kes di sekolah itu, Pejabat Kesihatan Keningau mengambil tindakan segera mengenal pasti semua kontak rapat dan mengasingkan mereka daripada guru dan pelajar lain.