9 Januari 2021 - Bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Pendidikan, Dato' Seri Mohd Najib bin Abd Razak mencadangkan agar sesi persekolahan 2021 ditangguhkan dan dibuka selepas sambutan Tahun Baru Cina berikutan keadaan semasa yang tidak menentu.
"Pandangan saya ialah permulaan penggal sekolah 2021 patut ditangguhkan ke selepas cuti Tahun Baru Cina memandangkan keadaan banjir belum reda, situasi Covid semakin teruk dan ada ura-ura nak melaksanakan semula PKP ketat di beberapa negeri zone merah," katanya dalam satu status di Facebook awal pagi ini.
Beliau turut memberi cadangan untuk menggantikan hari sekolah yang tertangguh dengan membatalkan cuti pertengahan penggal pertama selama 9 hari dan cuti pertengahan tahun selama 16 hari.
Sekolah-sekolah seluruh Malaysia dijadualkan akan memulakan sesi persekolahan pada 20 Januari 2021 seperti mana yang telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia melalui menterinya sebelum ini.