Putrajaya: Operasi pentadbiran Kerajaan Persekutuan tetap berjalan pada tahap 100 peratus biarpun negara melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata walaupun hanya 30 peratus penjawat awam bekerja di pejabat sepanjang pelaksanaan PKP dan ketika Putrajaya serta Lembah Klang dikenakan PKPB pada November, itu tidak bermakna operasi pentadbiran kerajaan hanya membabitkan jumlah penjawat awam yang sedikit.
Beliau berkata, kira-kira 70 peratus penjawat awam bekerja di rumah sepanjang tempoh berkenaan dan ada penjawat awam merungut beban kerja lebih teruk berbanding di pejabat.
Katanya, bekas diplomat, Datuk Dr. Fauziah Mohd Taib mungkin salah faham meminta kerajaan mengecilkan saiz perkhidmatan awam berikutan pentadbiran negara masih dapat dilaksanakan dengan hanya 30 peratus kakitangan yang bekerja di pejabat.
"Perkhidmatan kaunter masih lagi berjalan dan bukan bermaksud apabila hanya 30 peratus penjawat awam yang bekerja, 70 peratus lagi tidak bekerja.
"Mungkin beliau salah faham. Kita bukan mempunyai jumlah penjawat awam yang berlebihan. Ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan sekarang Perikatan Nasional (PN) kami masih menerima permohonan daripada kementerian dan jabatan yang meminta penambahan tenaga kerja.
"Namun kita kena kawal perjawatan supaya tidak ada perbelanjaan yang tidak mampu ditampung, pada masa sama, tahap perkhidmatan dijaga," katanya.
Mohd Khairul Adib berkata, negara masih memerlukna perkhidmatan sosial seperti guru untuk mendidik manakala sektor ekonomi dan kesihata serta logistik juga masih perlu berjalan.
Katanya, walapupun ada perkhidmatan yang boleh dilakukan dalam talian seperti pembaharuan lesen dan pasport, penjawat awam masih diperlukan untuk menyemak dokumen bagi menentukan kesahan.
Beliau berkata begitu juga dengan perkhidmatan sosial seperti pegawai kebajikan masyarakat yang masih perlu turun padang bagi membuat pemeriksaan dalam kalangan komuniti.
"Daripada 1.38 juta penjawat awam, satu pertiga daripada mereka atau 500, 000 ialah guru.
""Kira-kira 130,000 bagi anggota keselamatan dan jumlah sama anggota tentera.
"Kita ada 14 negeri di negara ini, namun cuma 6,000 penjawat awam yang hendak menjalan semakan bagi melihat siapa yang memerlukan bantuan misalnya.
"Jabatan Kebajikan Masyarakat masih memerlukan seseorang untuk menentukan kesahihan maklumat bagi memastikan bantuan yang disalurkan kerajaan sampai kepada pihak yang memerlukan," katanya.
Mohd Khairul Adib berkata, perbandingan tidak boleh dibuat dengan Amerika Syarikan (AS) misalnya yang ada sesetengan jawatan tidak ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan sebaliknya gaji mereka dibayar oleh negeri.
Katanya, keadaan sama juga berlaku di Jepun yang mempunya 47 wilayah, manakala perbandingan juga tidak boleh mengambil kira Singapura yang hanya terdiri daripada kawasan bandar sedangkan Malysia mempunyai pendalaman.
Beliau berkara, ketika ini, nisbah penjawat awam dengan penduduk Malaysia ialah 1:21.
Sumber: BH Ahad